
Tidak patah semangat, anak muda berusia 30 tahun ini memberanikan diri menceburi bidang baharu untuk menghasilkan barangan kulit pada 2021, ditambah pula dengan minatnya terhadap barangan kulit yang semakin mendalam, selepas mengabdikan diri dalam bidang muzik sejak 2012.
“Saya terpaksa akur dengan keadaan apabila semua persembahan pentas dibatalkan berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan akibat Covid-19.
“Lagipun saya sangat berminat dengan kasut but kulit sehingga menjadikannya koleksi peribadi, sesuai dengan penampilan sebagai pemain dram agar kelihatan lebih bergaya,” katanya kepada Bernama.
Sebagai permulaan, anak jati Kuala Lumpur ini bereksperimen menggunakan kasut but lamanya yang rosak dan tercabut tapak untuk belajar menjahit.
“Saya hasilkan satu dompet kad ringkas daripada kulit kasut but itu yang disiapkan dalam beberapa hari, hanya berpandukan tutorial daripada YouTube.
“Saya kemudian belajar lebih mendalam bersama rakan dan pakar dalam bidang ini bagi memantapkan lagi kemahiran,” katanya yang pernah menyertai kumpulan muzik genre indie, antaranya Temjin dan Torquesix.
Bermula dalam talian, Ashraf nekad membuka kedai barangan kulit buatan tangan yang memfokuskan penghasilan pelbagai jenis dompet, tali pinggang, tali gantung gitar serta beg menerusi jenama Phrygian Acraft di Malaysia Grand Bazaar di Lalaport Bukit Bintang City Centre, di sini Disember lalu.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Muzik (Persembahan) daripada Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan itu berkata, semua produknya diperbuat daripada berbagai-bagai jenis kulit antaranya lembu, kambing, kerbau dan kuda.
“Proses menghasilkan barangan kulit membabitkan kerja mengukur, memotong, menebuk dan menjahit dengan benang dan setiap proses itu dilakukan menggunakan tangan.”
Katanya, setiap barangan kulit dihasilkannya berdasarkan kreativiti sendiri, mengikut gaya dan kehendak pelanggan.
“Apa yang penting, saya sangat menitikberatkan soal ketelitian supaya hasilnya tampak kemas, berkualiti, halus serta tahan lama, selain selesa dipakai,” katanya yang bercadang menjahit kasut but dan jaket kulit kelak.
Setiap produk kulit buatan tangannya dijual antara RM200 hingga lebih RM2,000, bergantung kepada jenis produk, kulit dan saiz yang digunakan, selain ditempah khas.
Keputusannya itu ternyata berbaloi kerana Ashraf tidak menang tangan memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat.
Katanya, barangan kulit sentiasa mendapat tempat di hati penggemar kerana ia boleh membuatkan si pemakai tampak lebih bergaya.
“Apabila menjual dalam talian, ada yang ragu-ragu dengan tahap keaslian produk dihasilkan. Jadi, dengan membuka kedai, mereka (pelanggan) berpeluang melihat sendiri kulit digunakan yang diperoleh daripada pembekal tempatan di Tanjung Malim, Perak.”