Bercuti daripada tugas, Ahli Parlimen PKR nasihat menteri

Bercuti daripada tugas, Ahli Parlimen PKR nasihat menteri

Hassan Karim berkata, V Sivakumar tidak patut tunggu perdana menteri mengarahkannya bercuti atau meletak jawatan.

Hassan Karim percaya V Sivakumar mempunyai jiwa besar dan ‘conscience’ untuk mengambil tindakan tepat kerana setiap menteri mempunyai tanggungjawab menjaga nama baik kerajaan.
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen PKR menasihatkan V Sivakumar menunjukkan teladan dengan bercuti daripada tugasnya sebagai menteri sumber manusia sehingga siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pengambilan pekerja asing selesai.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berkata, setiap menteri mempunyai tanggungjawab menjaga nama baik kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang berusaha membanteras amalan rasuah dalam jentera kerajaan.

“Setakat ini, Sivakumar bukannya suspek, bukannya orang yang dituduh. Tetapi, fakta dua kali dipanggil untuk disiasat oleh SPRM, dan rumah serta pejabat dilawati SPRM bukanlah sesuatu yang molek bagi wajah anggota Kabinet yang dikenali sebagai kerajaan Madani.

“Saya tidak mendesak atau menyeru beliau meletak jawatan sekarang. Sekurang-kurangnya eloklah pada waktu ini beliau bercuti dahulu daripada tugas sebagai menteri,” katanya dalam catatan Facebook.

Sivakumar disoal siasat SPRM sebanyak dua kali pada 16 dan 17 April lalu sebagai sebahagian siasatannya ke atas pengambilan pekerja asing.

Seorang pembantunya digantung tugas, manakala dua lagi kembali bekerja selepas ketiga-tiganya ditahan SPRM seminggu lalu berhubung siasatan ke atas pengambilan pekerja asing.

Semalam, FMT memetik sumber berkata, pembantu yang digantung tugas itu dibayar gaji oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan penggantungan tugasnya dibuat mengikut prosedur..

Hassan yang juga anggota Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) percaya Sivakumar mempunyai jiwa besar dan “conscience” untuk mengambil tindakan tepat.

“Sivakumar tentu lebih faham tentang prinsip ‘collective responsibility’ dan ‘ministerial responsibility’ dalam fungsi kerja Jemaah Menteri kerajaan persekutuan.

“Jangan tunggu perdana menteri mengarahkan menteri yang kementeriannya terpalit rasuah supaya bercuti ataupun meletak jawatan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.