Penceramah luar perlu mohon kebenaran khas mengajar di Melaka

Penceramah luar perlu mohon kebenaran khas mengajar di Melaka

Penceramah luar juga akan diperiksa sama ada mereka mempunyai tauliah di negeri asal, kata mufti Melaka.

Penganjur pula perlu mengemukakan permohonan sekurang-kurangnya 2 minggu sebelum penganjuran sebarang majlis di masjid atau surau yang menggunakan penceramah luar, kata Mufti Melaka Abdul Halim Tawil.
MELAKA:
Penceramah tempatan dari luar Melaka atau luar negara yang ingin menyampaikan dakwah di negeri ini perlu mendapatkan kebenaran khas daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), kata Mufti Melaka Abdul Halim Tawil.

Beliau berkata, ini adalah sebagai langkah pengawalan dalam memastikan penceramah yang datang tidak membawa elemen perpecahan dan khilafiah (perselisihan) antara masyarakat di negeri ini.

“Jika penceramah tempatan dari luar Melaka, kita akan periksa sekiranya mereka telah mendapat tauliah dari negeri asal mereka, dan dalam masa yang sama mereka boleh datang dan membuat permohonan mendapatkan tauliah mengajar di Melaka.

“Manakala dari Melaka sendiri, kita akan semak sama ada individu itu telah mendapatkan tauliah mengajar daripada kami,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Al-Azim di Bukit Palah hari ini.

Abdul Halim berkata, penceramah luar negara perlu mengemukakan permohonan serta menyertakan biodata dan menyatakan sejarah perjalanan masuk ke Malaysia adalah secara sah.

“Kita tidak ada senarai hitam atau putih namun mereka (penganjur dan penceramah) haruslah jujur dan bertanggungjawab. Jika mereka tidak menghormati negeri asal dia bermastautin untuk mendapatkan tauliah, saya rasa kita agak sukar untuk menimbangkannya,” katanya.

Bagi penganjur pula, beliau berkata, mereka perlu mengemukakan permohonan sekurang-kurangnya dua minggu sebelum penganjuran sebarang majlis di masjid atau surau yang menggunakan penceramah luar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.