
Sehingga 3 pagi mereka mencari lembu itu sebelum sami itu menemukannya, di kuilnya sendiri yang terletak kira-kira 50 meter dari masjid.
“Sami itu tarik semula dan ikat di masjid. Betapa hormatnya beliau supaya kami dapat menjalankan ibadat korban,” kata Kassim, nazir Masjid An-Nuriah. Lembu dianggap suci dalam kalangan penganut Hindu.
Menurut Kassim, 47, hubungan akrab dan harmoni perkara biasa dalam kalangan rumah ibadat di Bukit Rotan, sebuah pekan kecil di simpang tiga, dikelilingi ladang sawit.
Terletak antara pekan Ijok dan pekan Kuala Selangor – jauh dari kekecohan kota besar – Bukit Rotan hanya memiliki kemudahan asas, sebuah padang golf, dan semangat kejiranan yang kuat.
Dari segi ‘usia’, Masjid An-Nuriah yang didirikan 96 tahun lalu itu boleh dikatakan ‘lebih muda’ berbanding Kuil Sri Shakthi Dhevasthanam, yang dianggarkan wujud sejak 110 tahun lalu. Memisahkan dua rumah suci ini sebuah pejabat pos, yang dikatakan berusia 100 tahun.

Bersebelahan masjid, di seberang jalan kecil, berdirinya Gereja Methodist Tamil yang seusia dengannya. Di hadapannya pula sebuah tokong Cina milik persendirian. Semua binaan ini dalam lingkungan 200 meter.
“Waktu bulan puasa kami kongsi bubur lambuk dengan mereka. Mungkin ini nampak kecil tetapi ia mewujudkan sikap hormat menghormati antara satu sama lain,” kata Kassim, yang menjadi nazir masjid sejak berusia 32 tahun.
“Bila tiba hari raya, kami jemput semua penduduk kampung datang sambut bersama.”

Sekiranya ada acara keagamaan, pihak masjid, gereja, dan kuil membenarkan pengunjung memanfaatkan tempat letak kenderaan masing-masing, tambahnya.

“Saya selalu jumpa imam masjid dan wakil kuil untuk berkongsi pendapat, pada saya toleransi sangat penting supaya kita hidup harmoni,” kata Pastor David Abraham, 71, ketika ditemui di kediamannya – yang terletak bersebelahan masjid.
Beliau berkata pihaknya sentiasa terbuka untuk membantu dan menepis sebarang cakap-cakap yang bertentangan dengan semangat itu.
“Kita bantu satu sama lain supaya upacara agama masing-masing lancar, kenapa kita hendak pertikai dan susahkan lagi?” katanya.
Mengulas secara umum, Kassim dan David hampa dengan kelakuan segelintir pihak yang meniupkan sentimen perkauman dan kebencian antara agama, dengan merujuk kes serangan rumah ibadat dan retorik sekitar kontroversi berkenaan program Jom Ziarah anjuran agensi Kementerian Belia dan Sukan.
“Tidak masuk akal kacau rumah ibadat orang lain. Kena hormat seperti kita hendak mengimarahkan masjid … Islam tidak mengajar ganggu agama lain,” kata Kassim.
“Apa kita dapat kalau bersifat perkauman? Semua agama tidak mengajar begitu. Untuk anak muda kalau hendak harmoni, kena rapat hubungan dengan penganut agama lain,” balas David.
Kassim ternyata berbangga dengan keharmonian di Bukit Rotan itu, yang beliau anggap sebagai “cara kita”.
“Ada datang dari India dan Sri Lanka ambil gambar rumah ibadat kami, cerita perkara baik ini kepada orang di sana. Mereka teruja dan kagum dengan cara kita,” katanya.