Imam minta maaf terlupa takbir rakaat kedua, solat sunat Aidilfitri diulang

Imam minta maaf terlupa takbir rakaat kedua, solat sunat Aidilfitri diulang

Selepas memberi salam, imam itu terus bangun dan mengakui kekhilafannya dan mahu mengulangi solat sunat itu pada 8.55 pagi.

Kejadian itu berlaku di Masjid Tengku Mahkota Abdullah Jerantut ketika solat sunat Aidilfitri dihadiri kira-kira 3,000 jemaah pagi tadi. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Solat sunat Aidilfitri di sebuah masjid di Jerantut, Pahang terpaksa diulang semula kerana imam terlupa takbir pada rakaat kedua.

Kejadian itu berlaku di Masjid Tengku Mahkota Abdullah Jerantut (MTMAJ) pada 8.45 pagi tadi, dengan kehadiran kira-kira 3,000 jemaah.

Selepas memberi salam, imam itu terus bangun dan mengakui kekhilafannya kerana tidak mengangkat lima kali takbir pada rakaat kedua serta mahu mengulangi solat sunat itu buat kali kedua pada 8.55 pagi.

Tindakan imam itu dipuji jemaah.

“Baguslah, imam terus akui kekhilafannya dan mahu mengulangi semula solat ini,” kata Zulkifli Abdullah menurut Harian Metro.

Seorang lagi jemaah, Rosman Hashim berkata, ketika berlaku kekhilafan itu, imam terbabit meneruskan hingga ke tahiyat akhir dan memberi salam.

“Imam terus mengakui dengan memaklumkan kekhilafannya melalui pembesar suara dan mahu diulang solat ini. Alhamdulillah solat sunat berjalan lancar pagi ini.”

Selesai khutbah, kira-kira 500 kanak-kanak bawah 12 tahun menerima duit raya daripada pengurusan MTMAJ.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.