
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said memberitahu FMT, beliau sudah mengarahkan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di bawah kementeriannya menyiasat dakwaan itu.
“Hak diikat jamin ialah hak asasi manusia dan berperlembagaan yang kerajaan hormati tanpa pertikaian. Sebarang tindakan, termasuk masalah pentadbiran, yang mengganggu hak ini dianggap melanggar prinsip kardinal ini.
“Jika dakwaan dibuat peguam tertuduh benar, ini tentunya perlu dikaji semula dan dibetulkan bagi memastikan kesilapan pentadbiran seperti ini tidak berulang.”
Khamis lalu, enam lelaki dilaporkan terpaksa menghabiskan hujung minggu panjang di penjara kerana kaunter memproses ikat jamin ditutup awal daripada kebiasaan.
Mereka antara 10 tertuduh minta dibicarakan atas konspirasi jenayah dengan niat menipu. Empat lagi membayar ikat jamin tepat pada masanya.
Peguam mereka, Alvin Tan mendakwa kaunter ikat jamin ditutup pada 2.53 petang, tidak lama selepas majistret membenarkan ikat jamin RM4,000 setiap satu. Notis di kaunter ikat jamin menyatakan waktu operasi sehingga 4.30 petang.
Semalam, bekas timbalan menteri undang-undang, Hanipa Maidin dilaporkan berkata, menafikan hak membayar ikat jamin melanggar Perlembagaan Persekutuan, yang melindungi hak kebebasan dan kehidupan.
Katanya, apa yang berlaku boleh menyebabkan kerajaan berdepan saman sivil, termasuk “tort of misfeasance in public office”.