
Mereka antara 9,152 pegawai kontrak di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) yang dipanggil temu duga bulan lalu bagi mengisi 4,914 jawatan tetap – 4,263 pegawai perubatan Gred UD43, 335 pegawai pergigian Gred UG41 dan 316 pegawai farmasi Gred UF41.
Bagi doktor kontrak pula, seramai 11,563 orang memohon 4,263 jawatan tetap, tetapi hanya 7,062 orang dipanggil temu duga.
Daripada mereka yang tidak berjaya, seramai 2,138 orang diletakkan dalam senarai menunggu. Ini berbeza dengan amalan lama di mana surat Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hanya menyatakan “kesal untuk memaklumkan anda tidak dipilih”.
Beberapa doktor yang menghubungi JPA berkata, mereka dimaklumkan doktor kontrak dalam senarai menunggu itu akan ditawarkan jawatan tetap, jika individu terpilih menolak tawaran atau apabila ada kekosongan selepas penjawat awam berhenti.
Seorang pegawai perubatan yang enggan dinamakan memberitahu FMT, langkah itu ialah cubaan jelas untuk menenangkan kumpulan besar doktor kontrak ketika ramai mengugut akan melancarkan mogok atau berhenti beramai-ramai sebagai tanda protes.
“Selain itu, ramai yang gagal dipilih terkilan kerana mereka termasuk doktor lulus bahagian pertama peperiksaan kepakaran dan ada pula berkhidmat di kawasan luar bandar.
“Kekananan juga tidak dijadikan kriteria. Di sebuah hospital, dua junior dipilih, manakala dua senior mereka tidak ditawarkan jawatan tetap,” kata doktor itu.
Doktor itu berkata, senarai menunggu mungkin tidak membawa sebarang perbezaan kepada doktor kontrak jika mereka perlu menunggu setahun lagi untuk memohon semula.
“Ada yang bimbang kontrak mereka akan tamat dalam tempoh setahun lagi. Tiada siapa tahu jika ia akan dilanjutkan. Ini membimbangkan juga.”
Seorang lagi doktor berkata, JPA dan KKM tidak mempertimbangkan gesaan Bahagian Pelatih, Pegawai Perubatan dan Pakar Perubatan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA-Schomos) untuk memperkenalkan sistem mata bagi pemilihan supaya lebih telus dan merit.
“Ketika ini, tiada siapa tahu kenapa dia berjaya atau tidak dipilih kali ini. Ini benar-benar mengecewakan ramai daripada kami.”