Tutup kaunter ikat jamin awal langgar ‘peraturan’, bidas bekas timbalan menteri

Tutup kaunter ikat jamin awal langgar ‘peraturan’, bidas bekas timbalan menteri

Hanipa Maidin berkata enam lelaki dinafi menyelesaikan ikat jamin dianggap melanggar hak mereka termaktub dalam Perlembagaan.

Bekas timbalan menteri undang-undang, Hanipa Maidin, berkata menafikan individu menyelesaikan ikat jamin membuka ruang kepada kerajaan berdepan saman sivil.
PETALING JAYA:
Penutupan awal kaunter ikat jamin di Mahkamah Kuala Lumpur dikritik bekas timbalan menteri undang-undang, Hanipa Maidin, yang menyifatkannya melanggar peraturan.

Hanipa berkata, tindakan seumpama itu “sama sekali tidak boleh diterima”.

“Pada pandangan saya, tindakan itu melanggar peraturan sepenuhnya kerana menafikan hak enam lelaki menyelesaikan ikat jamin yang sudah diberikan kepada mereka,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, dilaporkan enam lelaki terpaksa meringkuk dalam penjara minggu ini, selepas kaunter memproses ikat jamin ditutup awal berbanding kebiasaan.

Mereka merupakakan 10 daripada tertuduh yang minta dibicara berhubung konspirasi jenayah dengan niat menipu.

Peguam mereka, Alvin Tan, mendakwa kaunter memproses ikat jamin ditutup pada 2.53 petang, tidak lama selepas majistret membenarkan ikat jamin masing-masing RM4,000. Notis di kaunter itu memaparkan waktu bekerja sehingga 4.30 petang.

Hanipa berkata, menafikan hak menyelesaikan ikat jamin melanggar Perlembagaan Persekutuan, yang melindungi hak kebebasan dan kehidupan.

Katanya, apa yang berlaku boleh menyebabkan kerajaan berdepan saman sivil, termasuk ‘tort of misfeasance in public office’.

Tan melabelkan insiden itu sebagai “kegagalan birokrasi”, sambil menyatakan ahli keluarga enam lelaki itu sudah merayu kepada kakitangan kaunter ikat jamin itu dibuka. Dilaporkan, dua daripada tertuduh sakit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.