Telur cukup di Pantai Timur menjelang raya, kata menteri

Telur cukup di Pantai Timur menjelang raya, kata menteri

Salahuddin Ayub memberi jaminan tidak berlaku gangguan bekalan produk itu di Kelantan dan Terengganu.

Bekalan telur di Kelantan tidak mengalami masalah, selain permintaan sumber protein itu di Terengganu pula semakin menurun, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub.
PUTRAJAYA:
Kebanyakan pasar raya di Pantai Timur masih mempunyai bekalan telur ayam pelbagai gred mencukupi menjelang sambutan Aidilfitri esok, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub.

Beliau berkata, pihak kementerian telah mengambil tindakan segera dengan melakukan pemeriksaan di beberapa pasar raya dan pasar raya besar terpilih di Kelantan serta Terengganu susulan laporan media berhubung isu gangguan bekalan produk itu di Pantai Timur, menjelang Aidilfitri.

“KPDN juga sentiasa melakukan pemantauan berkala berhubung keberadaan bekalan telur ayam ke atas 225 premis pengedar peruncit terpilih di seluruh Kelantan.

“Berdasarkan statistik bekalan telur ayam di premis tersebut sehingga 20 Apr 2023, sebanyak 220,140 biji stok telur ayam pelbagai gred masih ada di pasaran,” menurutnya dalam kenyataan.

Salahuddin berkata, secara keseluruhan, pihaknya mendapati bekalan telur ayam di Kelantan tidak mengalami masalah dan masih mencukupi untuk kegunaan isi rumah sempena musim perayaan ini.

Beliau juga berkata, bekalan telur ayam di seluruh Kelantan adalah stabil melalui pemeriksaan di peringkat runcit dan borong.

Di Terengganu pula, bekalan telur ayam masih boleh diperoleh di pasar raya utama serta kedai runcit di pekan kecil dan hasil pemantauan menunjukkan permintaan terhadap produk itu semakin menurun kerana bazar Ramadan sudah berakhir selain tiada lagi permintaan tinggi daripada industri pembuatan kuih, kek, dan biskut raya.

“Telur daripada gred kawalan juga masih banyak dan dijangka mampu untuk menampung permintaan pengguna,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.