
Pesara Leftenan Kolonel, Ajaya Kumar berkata, ramai ibu bapa bukan Bumiputera tidak yakin anak mereka boleh naik pangkat dalam angkatan tentera.
Beliau berkata, dirinya bukti nyata sukar bukan Bumiputera sukar dinaikkan pangkat dalam pasukan itu.
“Saya menjadi mejar selama 20 tahun sebelum menerima kenaikan pangkat. Malah, anak-anak dan anak saudara saya menyedari perkara ini dan ia tidak menggalakkan mereka mengikut jejak saya.

“Berapa ramai bukan Bumiputera yang memerintah bahagian atau briged hari ini? Hampir tiada,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Pertahanan, Mohamad Hasan awal minggu ini bahawa orang India, Cina dan Orang Asli lebih cenderung memilih sektor lain, tetapi ia tidak bermakna mereka tidak patriotik.
Setakat 6 Mac lalu, katanya, anggota tentera terdiri daripada 85.8% orang Melayu, diikuti Bumiputera dari Sarawak dan Sabah sebanyak 7.6% dan 4.3%, India (1.4%), Cina (0.5%) dan Orang Asli (0.4%).
Kumar berkata, budaya mengampu memburukkan keadaan, dengan mereka yang tahu cara “membodek orang tertentu” untuk naik pangkat dengan cepat.
Satu lagi faktor, katanya, ialah kurang sensitiviti agama terhadap bukan Islam dalam tentera.
Beliau memberi contoh ada yang bersolat hanya mendoakan keselamatan anggota seagama, sedangkan sebarang sembahyang atau solat perlu merangkumi semua anggota tanpa mengira agama mereka.
Anggota pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Timor Leste pada akhir 1990-an itu memberi satu lagi contoh anggota beragama Hindu dihidangkan daging lembu yang bertentangan kepercayaan agama mereka.
Apabila perkara itu dibangkitkan, katanya, mereka akan diberikan telur goreng.
Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan, Arshad Raji bersetuju kurang patriotisme bukan sebab mengapa ramai bukan Bumiputera tidak menyertai tentera.
“Daripada libat urus saya dengan generasi muda, mereka sangat patriotik terhadap negara.”
Beliau menekankan gaji dan pencen diperoleh anggota tentera. Walaupun jumlah itu bertambah baik sejak 2013, ia tidak sebagus sektor korporat.
“Jadi, saya fikir mereka akhirnya mengejar peluang lebih baik.”