
Dalam ucapan disiarkan di televisyen, Anwar yang dilantik menerajui kerajaan pada November lalu, berkata rakyat perlu mengambil kesempatan sempena Aidilfitri, esok, untuk saling menziarahi.
Beliau juga turut menyentuh kepentingan memupuk keyakinan kepada nilai, ihsan, dan rahmah demi kemajuan.
“Maka, dalam tatakelola kerajaan perpaduan ini pun ditegaskan untuk tetap tegas mengembalikan maruah dan integriti menolak sebarang kebobrokan rasuah dan penyelewengan,” katanya.
Sejak dilantik sebagai perdana menteri, Anwar sering menegaskan komitmen menghapuskan rasuah, sambil memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap pegawai kerajaan korup.
“Saya juga mengambil kesempatan ini juga untuk berterima kasih kepada semua penjawat awam dalam dan luar negara, yang tungkus lumus berkhidmat, pasukan-pasukan bertahan menjaga keselamatan, mengangkat martabat negara,” katanya.
Beliau juga mengucapkan selamat menyambut Aidilfitri dari pihak keluarganya kepada seluruh umat Islam dan rakyat Malaysia.