Ramai mengeluh ‘nak raya, tetapi duit tiada’

Ramai mengeluh ‘nak raya, tetapi duit tiada’

Hari Raya Aidilfitri tahun ini menyusul selepas sesi persekolahan dibuka Mac lepas.

PETALING JAYA:
Baru sahaja selesai menyediakan kelengkapan anak bersekolah awal Mac lepas, kini golongan ibu bapa terpaksa pula ‘bertarung’ untuk Hari Raya Aidilfitri.

Selain harga pakaian, kuih muih dan hiasan rumah yang semakin mahal, cabarannya juga terletak pada tarikh 1 Syawal yang dijangka pada 21 atau 22 April- tarikh masih jauh daripada hari pembayaran gaji pekerja swasta.

Kesukaran itu diakui seorang pengawal keselamatan kilang Saffri Mohd Kamaruddin, 44, yang memberitahu dirinya berbelanja hampir RM3,000 untuk menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anaknya  termasuk seorang yang bersekolah di asrama.

“Selepas itu masuk bulan puasa dan raya, terpaksa korek duit simpanan disebabkan gaji lambat lagi untuk membeli kelengkapan Aidilfitri.

“Dapat beli sepasang untuk anak-anak pun memadai dan itu pun kena tengok harga betul-betul, sebagai bapa kita kena berusaha…penat nombor dua yang penting keluarga seronok walaupun sambutan ala kadar,” katanya kepada FMT.

Sementara itu, seorang pekerja swasta Syafiq Rozaman, 42, menyifatkan kos untuk menyediakan kelengkapan sekolah anak-anak dan sambutan Aidilfitri seperti baju, kuih muih serta hiasan rumah semakin mahal.

“Perbelanjaan itu terus terang memang tinggi untuk buat persediaan sekolah dan raya…bukan murah.

“Kalau ada bantuan kerajaan ataupun NGO (pertubuhan bukan kerajaan), mungkin dapat ringankan beban golongan kurang berkemampuan,” katanya yang berasal dari Serdang, Selangor.

Dilema itu turut dirasai pasangan belum dikurniakan cahaya mata seperti diakui seorang pekerja syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang hanya dikenali sebagai Cahaya.

Cahaya yang baru sahaja mendirikan rumah tangga mengakui turut terkesan dengan kenaikan harga barangan ketika ini.

Wanita yang baru mendirikan rumah tangga itu mengeluh harga pakaian, kuih dan kelengkapan lain untuk memeriahkan sambutan Aidilfitri semakin mahal.

“Saya yang tiada anak pun dah rasa kesempitan wang dengan gaji sebegini, bagaimana pula dengan ibu bapa ada anak ramai,” katanya yang berusia 29 tahun.

Bagi seorang pekerja swasta, Hakim Rayyan, 34, dia membuat perancangan awal untuk membuat persediaan bagi mengelakkan daripada berdepan situasi yang boleh menjejaskan perbelanjaan keluarga.

Hakim Rayyan mampu menarik nafas lega apabila sudah merancang kewangannya terlebih dahulu untuk meraikan hari lebaran.

“Raya tetap perlu diteruskan, jadi perancangan perlu ada.

“Kita maklum dugaan itu banyak dari sektor kewangan dan ekonomi. Maka, perancangan perlu betul,” katanya.

Aidilfitri kali ini disambut ketika negara beralih dari fasa pandemik kepada endemik menyaksikan banyak sekatan termasuk merentas negeri atau pulang ke kampung telah ditarik balik yang menambah kemeriahan sambutan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.