‘Pulanglah, mak tunggu’, lelaki cari abang hilang 17 tahun

‘Pulanglah, mak tunggu’, lelaki cari abang hilang 17 tahun

Hashimy Suratman memohon bantuan orang ramai mengesan abangnya, Darwis Sumala, yang hilang sejak 2006.

Darwis Sumala Suratman berusia 22 tahun ketika hilang 17 tahun lepas. Beliau diketahui menetap di Pantai Dalam, Kuala Lumpur ketika itu. (Gambar Hashimy Suratman)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki meminta bantuan orang ramai mengesan abangnya yang hilang tanpa jejak 17 tahun lalu.

Hashimy Suratman tidak berputus asa untuk bertemu semula abangnya, Darwis Sumala, yang hilang di Kuala Lumpur pada 2006, ketika Hashimy berusia 19 tahun.

Darwis, anak jati Sarawak yang berusia 22 tahun ketika itu, bekerja di Kuala Lumpur dan menetap di Pantai Dalam.

“Saya buat laporan polis dan menyemak rekodnya dengan pelbagai agensi seperti KWSP, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Imigresen dan bank.

“Namun tiada maklumat baharu,” kata Hashimy, yang kini berusia 36 tahun, kepada FMT.

Sudah hampir dua dekad Darwis tidak dapat dikesan, namun keluarga masih bingung kerana beliau tidak mempunyai masalah dengan mereka mahupun di tempat kerja. Darwis ialah kakitangan kontrak di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ketika itu.

Hashimy, yang berasal dari Kuching, teringat menerima berita tentang kehilangan Darwis daripada rakannya. Pelbagai percubaan untuk menghubungi Darwis gagal, menyebabkan bapa mereka terbang ke Kuala Lumpur untuk mencarinya.

“Namun sudah terlambat. Kami percaya abang lari dari rumah, membawa sebuah beg pakaian dan fail mengandungi sijil-sijilnya.

“Kami tak tahu kenapa dia buat demikian, dia tiada masalah dengan keluarga,” kata Hashimy.

Hashimy membuat catatan di media sosial dua hari lalu mengenai perkara itu, dengan harapan media sosial dapat membantunya bertemu semula abangnya.

“Dah nak raya..17 tahun dah…aku sentiasa ingat selagi ada nyawa,” katanya di Facebook.

“Kat mana pun kau, baliklah. Mak tengah tunggu…selagi mak masih ada, balik lah. Bapa dah meninggal.”

Hashimy meminta sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung keberadaan abangnya supaya menghubunginya di talian 012 2509005

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.