Pemandu bas langgar peraturan tak dibenar memandu

Pemandu bas langgar peraturan tak dibenar memandu

Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasa JPJ Lokman Jamaan berkata tindakan itu diambil kerana ia boleh mendatangkan risiko kemalangan.

Setakat ini tiga kes melibatkan pemandu bas disyaki menggunakan bahan terlarang direkodkan.
KUALA LUMPUR:
Pemandu bas yang ingkar peraturan jalan raya sehingga membahayakan keselamatan penumpang akan diambil tindakan tegas termasuk tidak dibenarkan lagi memandu.

Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Lokman Jamaan, berkata pihaknya mengambil serius isu itu dan meletakkan sifar kemalangan pengangkutan awam sebagai fokus kempen keselamatan jalan raya dan Ops Bersepadu Hari Raya Aidilfitri 2023.

Katanya, setakat ini tiga kes melibatkan pemandu bas disyaki menggunakan bahan terlarang direkodkan, hasil pemeriksaan rambang dijalankan JPJ bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan sempena Hari Raya Aidilfitri.

“Kami telah mengambil tindakan supaya mereka ini tidak dibenarkan untuk memandu bas kerana ia boleh mendatangkan risiko kemalangan.

“Sekiranya berlaku kemalangan melibatkan bas pengangkutan awam ini kesannya sangat tinggi. Satu bas membawa lebih kurang 40 nyawa (40 penumpang), ia menyebabkan satu kehilangan yang amat besar,” katanya semasa menjadi tetamu sebuah program televisyen.

Dalam usaha mengurangkan kes kemalangan sempena sambutan Aidilfitri kali ini, Lokman berkata pihaknya juga akan menempatkan pegawai dan anggota di lokasi yang dikenal pasti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.