‘Online’ jangkau lebih ramai pelanggan, usah terus mengeluh jualan raya jatuh

‘Online’ jangkau lebih ramai pelanggan, usah terus mengeluh jualan raya jatuh

Penjual pakaian di Tiktok, Dear Caryn, berpandangan peniaga tidak mempunyai pilihan lain, selain segera beradaptasi mengikut perkembangan zaman.

Keadaan lengang di Jalan TAR dengan rata-rata peniaga merungut jualan tidak semeriah sebelum ini.
PETALING JAYA:
Peniaga karnival Aidilfitri perlu menerima hakikat sikap pengguna sudah berubah memandangkan ramai penjual mengadu jualan raya tidak lagi lumayan seperti sebelum ini.

Penjual pakaian di Tiktok, Dear Caryn, berpandangan peniaga tidak mempunyai pilihan lain, selain segera beradaptasi mengikut perkembangan zaman dengan menumpukan kepada jangkauan pelanggan lebih besar.

Katanya, sikap pengguna semakin berbeza selepas dilanda pandemik Covid-19.

“Daripada mengeluh lebih baik belajar dan ikut perkembangan zaman. Kita harus terima sebab zaman sekarang sudah berubah.

“Bagi saya meniaga ‘offline’ dan dalam talian mempunyai keistimewaan tersendiri dan tiada konflik. ‘Offline’ jual pengalaman iaitu pembeli dapat sentuh barang itu, manakala dalam talian pula boleh jangkau lebih ramai pelanggan,” katanya kepada FMT.

Tinjauan FMT di Jalan TAR, mendapati banyak reruai yang sedang beroperasi, namun keadaan agak lengang selain kekurangan pengunjung.

Peniaga baju raya wanita yang ingin dikenali sebagai Syazwa, 24, berkata jualannya berjalan baik pada awal Ramadan, namun sedikit jatuh ketika raya hampir tiba.

“Mungkin kerana ramai orang sudah pulang ke kampung atau memilih untuk buat pembelian secara dalam talian kerana ia lebih murah.

“Mungkin jika kita nak buat penambahbaikan lagi, kita perlu buat secara dalam talian atau buat ‘live’ (di sosial media),” katanya.

Dalam pada itu, peniaga baju melayu, Khairul Hikam, 25, berkata dia ada mendengar keluhan peniaga Jalan TAR mengenai jualan raya tahun ini berkurangan, berbanding tahun sebelumnya.

“Pengunjung datang membeli waktu siang. Kalau kita buka 10 pagi, 9 pagi, memang yang datang untuk membeli sahaja. Kalau malam, ramai jalan-jalan. Pengunjung yang membeli pun ada, tetapi lebih banyak berjalan daripada membeli.”

Berbeza pula dengan peniaga baju melayu Bulan Bintang yang mahu dikenali sebagai Maya, 40.

Menurutnya, jualannya bertambah baik sejak hari minggu lalu dan menyatakan stok baju melayunya sudah berkurangan.

Katanya, perniagaannya mampu untuk pergi jauh meskipun tidak melakukan jualan secara dalam talian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.