Kaunter ikat jamin tutup awal, 6 terpaksa meringkuk dalam penjara

Kaunter ikat jamin tutup awal, 6 terpaksa meringkuk dalam penjara

Peguam Alvin Tan berkata tiada guna permohonan ikat jamin didengar, namun prosesnya tersekat kerana 'kerenah birokrasi'.

Enam lelaki terbabit ditahan di Penjara Sungai Buloh. (Gambar Reuters)
KUALA LUMPUR:
Enam lelaki yang minta dibicara bagi tuduhan konspirasi jenayah dengan niat untuk menipu terpaksa meringkuk dalam penjara selepas kaunter memproses ikat jamin ditutup awal berbanding kebiasaan.

Liew Zhen Ying, Koh Zheng Yan, Renee Low, Foo Wei Xuan, Liew Zhen Shen, dan Wong Wai Hong, ditempatkan dalam penjara selama empat hari di Penjara Sungai Buloh.

Empat lain, Law Si Kai, Tan Jia Jing, Ching Chung Haw, dan Xu Shao Rong, yang dituduh bersama dengan enam tertuduh, sempat menyelesaikan ikat jamin mereka.

Peguam mereka, Alvin Tan mendakwa kakitangan mahkamah menutup kaunter pendaftaran pada 2.53 petang, sedangkan notis dipaparkan waktu pejabat beroperasi sehingga 4.30 petang.

“Walaupun ahli keluarga merayu, kakitangan berkata kaunter ditutup sebagai mematuhi arahan pihak pengurusan mahkamah Kuala Lumpur,” katanya kepada FMT.

Katanya, dua tertuduh yang tidak sempat diikat jamin dikatakan sakit.

Tan berkata, beliau akan menulis kepada ketua hakim negara dan menteri hal ehwal undang-undang “untuk memastikan kepentingan keadilan ditegakkan.”

“Tiada guna permohonan ikat jamin didengar di mahkamah, namun prosesnya berdepan birokrasi.”

10 lelaki terbabit didakwa sekitar tengah hari tadi di hadapan Majistret Wong Chai Sia. Mereka mengaku tidak bersalah.

Wong membenarkan ikat jamin RM4,000 seorang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.