Cuti tambahan raya bukan langkah populis, kata Ahmad Maslan

Cuti tambahan raya bukan langkah populis, kata Ahmad Maslan

Timbalan menteri kewangan berkata cuti itu juga tidak akan mengganggu operasi sektor swasta kerana ia diberi pada Jumaat dan Isnin manakala Sabtu dan Ahad sememangnya cuti hujung minggu.

Ahmad Maslan berkata semua keputusan diambil kerajaan perpaduan sempena Aidilfitri untuk memastikan rakyat ceria tanpa ada niat menjadikannya sebagai langkah popular. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Langkah kerajaan memberikan cuti tambahan sempena sambutan Aidilfitri bukanlah satu langkah populis sebaliknya ia seiring usaha kerajaan menceriakan ketika menyambut perayaan itu, kata Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan.

Beliau berkata, cuti tambahan itu juga tidak akan mengganggu operasi sektor swasta kerana ia diberi pada Jumaat dan Isnin manakala Sabtu dan Ahad sememangnya cuti hujung minggu.

Katanya, semua keputusan yang diambil kerajaan perpaduan sempena Aidilfitri itu adalah untuk memastikan rakyat ceria tanpa ada niat untuk menjadikannya sebagai langkah popular.

“Keterujaan dengan suasana raya dirasai oleh semua, malah sektor swasta pun memberi cuti yang sama (pada hari sama diumum kerajaan).

“Langkah kerajaan ini termasuk tol percuma selama empat hari adalah untuk membantu rakyat dan memberikan keceriaan ketika raya,” katanya menurut Berita Harian.

Pada lawatan itu, beliau turut menyerahkan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kepada lima penerima bagi fasa kedua bantuan itu.

Semalam Pengarah Urusan Pasar Raya Mydin Ameer Ali Mydin dilaporkan berkata, pengumuman cuti tambahan sempena Aidilfitri oleh kerajaan semalam dilihat akan menyebabkan peniaga terpaksa menanggung kerugian.

Beliau berkata kerajaan tidak seharusnya membuat keputusan bersifat populis, sebaliknya menumpukan terhadap bantuan subsidi yang disasarkan untuk membantu rakyat.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan cuti tambahan pada Jumaat dan Isnin sempena Aidilfitri bagi memudahkan rakyat membuat perancangan sewajarnya menyambut perayaan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.