Batal festival Aidilfitri saat akhir, penganjur ditahan

Batal festival Aidilfitri saat akhir, penganjur ditahan

Polis berkata tiga individu itu direman dua hari bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Dang Wangi Noor Dellhan Yahya, berkata tiga individu itu ditahan susulan beberapa laporan polis yang dibuat peniaga. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tiga individu termasuk seorang pengarah syarikat ditahan polis untuk siasatan berkaitan festival beli belah sempena Aidilfitri di Pusat Dagangan Dunia (WTC) yang dibatalkan pada saat akhir.

Ketua Polis Dang Wangi Noor Dellhan Yahya, berkata tiga individu itu ditahan susulan beberapa laporan polis yang dibuat peniaga yang menyertai festival tersebut.

“Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, IPD Dang Wangi membuka satu kertas siasatan berkaitan laporan tersebut bagi siasatan selanjutnya dijalankan.

“Susulan siasatan dijalankan, tiga individu terdiri daripada pengarah syarikat serta penganjur festival antaranya seorang lelaki berumur 23 tahun dan dua wanita tempatan berumur 50 dan 51 tahun,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, semua individu itu ditahan direman dua hari bagi membantu siasatan.

“Semakan mendapati semua individu yang ditahan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

“Setakat kini sebanyak enam laporan polis telah diterima berkaitan kes yang disiasat ini,” katanya yang menambah kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, satu festival membeli-belah sempena sambutan Aidilfitri yang dijadual semalam sehingga esok di WTC terpaksa dibatalkan pada saat akhir.

Keadaan itu menyebabkan peniaga yang menyertai festival berkenaan mendakwa mengalami kerugian besar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.