Umno dalam proses senarai pendek calon PRN Negeri Sembilan

Umno dalam proses senarai pendek calon PRN Negeri Sembilan

Ketua Umno Negeri Sembilan berkata, calon akan melalui proses penilaian dan tapisan sebelum nama mereka disenarai pendek dan diserahkan kepada presiden.

Ketua Umno Negeri Sembilan, Jalaluddin Alias, berkata calon dengan peluang tertinggi menang akan diberikan tempat untuk bertanding.
PETALING JAYA:
Umno Negeri Sembilan masih proses menyenarai pendek calon yang akan bertanding pada PRN akan datang.

Ketua Umno Negeri Sembilan, Jalaluddin Alias, berkata semua calon akan melalui proses penilaian dan tapisan sebelum nama mereka diserahkan kepada Presiden, Ahmad Zahid Hamidi untuk diputuskan.

“Saya letakkan penanda aras, iaitu setiap kerusi yang akan ditandingi Barisan Nasional (BN) kelak, mana-mana individu atau parti yang akan diberikan peluang kali ini mestilah dalam kalangan yang dilihat akan memenangi kerusi itu.

“Calon yang mempunyai kemungkinan untuk menang lebih tinggi akan diberikan tempat dan peluang. Bukan ambil sebab mereka ketua bahagian ataupun penyandang kerusi, tetapi kali ini saya memikirkan soal kemenangan itu keutamaannya,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Mengenai peluang MCA bertanding pada PRN, Jalaluddin berkata, Umno sedia memberikan satu daripada 15 kerusi yang dimenangi sebelum ini kepada MCA, sekiranya parti itu mempunyai peluang lebih tinggi untuk menang.

“Umpamanya kerusi di DUN Pertang, jika selepas kajian, analisa dan tapisan dibuat dan dilihat MCA mempunyai lebih peluang (menang), maka kerusi itu akan diberikan kepada MCA.

“Kita akan tengok dan pertimbangkan, ia perkara biasa dan bergantung kepada kajian, jika mereka boleh menang kenapa tidak diberikan pertimbangan. Itu kriteria paling penting, jika lebih berpotensi untuk menang, maka boleh dipertimbangkan.”

Pada PRU14, BN menang 16 daripada 36 kerusi DUN yang dipertandingkan, dengan 15 daripadanya dimenangi Umno dan satu kerusi dimenangi MIC.

Dua puluh lagi kerusi dimenangi Pakatan Harapan, sekali gus membolehkan dua gabungan itu membentuk kerajaan negeri.

Menjelang PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu, kesepakatan dicapai di peringkat pusat untuk PH dan BN bekerjasama serta rundingan pengagihan kerusi mengutamakan parti penyandang diberi peluang mempertahankan kerusi itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.