
Azril Kamarunzaman, 34, didakwa melakukan khianat dengan api, iaitu membakar kenderaan terbabit di parkir motosikal di hadapan Suria KLCC, Jalan Ampang, pada 3.30 petang 13 April lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Berita Harian melaporkan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nurul Amalina Abu Hanifah menawarkan jaminan RM12,000 kepada tertuduh.
Tetapi, peguam Muhamad Ridzuan Umar yang mewakili Azril merayu jumlah itu dikurangkan atas alasan anak guamnya perlu menyara isteri dan ibu bapa.
Hakim Nu’aman Mahmud Zuhudi membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 22 Mei ini.
Pada 13 April lalu, 13 motosikal dan empat skuter elektrik dilaporkan terbakar di kawasan parkir terbuka berdekatan pusat beli-belah Suria KLCC.
Susulan itu, seorang lelaki ditahan selepas dikesan berada berhampiran lokasi kejadian sebelum kebakaran berlaku berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).