Lanjut kontrak Pharmaniaga ‘berisiko’ kepada sistem kesihatan, kata badan pemikir

Lanjut kontrak Pharmaniaga ‘berisiko’ kepada sistem kesihatan, kata badan pemikir

Lanjutan konsesi itu mengekalkan kewujudan orang tengah, membawa kepada kos perubatan yang lebih tinggi, kata Azrul Khalib.

Pusat Galen berkata, persaingan sihat boleh membantu Pharmaniaga melakukan penambahbaikan dan tidak lagi bersikap sambil lewa.
PETALING JAYA:
Lanjutan konsesi Pharmaniaga Bhd Putrajaya untuk dekad mendatang menjurus sistem kesihatan negara “terdedah, berisiko, dan sangat bergantung” kepada satu syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sahaja, kata Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial.

Dalam kenyataan, badan pemikir kesihatan itu, berkata ia adalah tamparan kepada pembaharuan penjagaan kesihatan memandangkan langkah itu memberikan monopoli kepada satu syarikat dan bukannya membenarkan persaingan sihat termasuk kepelbagaian pilihan.

Katanya, amalan konsesi eksklusif kerajaan juga membolehkan syarikat individu, seperti Pharmaniaga dan GLC lain, mempunyai pegangan dominan dan pengaruh besar ke atas sebahagian besar sistem penjagaan kesihatan, termasuk perkhidmatan hospital.

Ini telah mewujudkan kebergantungan berlebihan yang tidak sihat dengan kepercayaan bahawa syarikat berkenaan dianggap sangat diperlukan, selain “terlalu besar untuk gagal”, katanya.

“Keputusan ini mengesahkan persepsi itu,” kata pengasas dan ketua pegawai eksekutifnya, Azrul Khalib.

Beliau berkata, lanjutan itu juga akan memberi isyarat kepada pemain farmaseutikal bahawa tidak ada gunanya membina, melabur, dan mengembangkan perniagaan, memandangkan Pharmaniaga mempunyai monopoli kerajaan untuk 10 tahun lagi.

Tambahan pula, Azrul berkata, lanjutan konsesi itu adalah “amalan perniagaan yang buruk” kerana mengekalkan kewujudan orang tengah, sekali gus meningkatkan kos ubat-ubatan.

Beliau berkata, membenarkan pembekal berunding dan membida secara terus dengan kerajaan, berpotensi memberi penjimatan dana awam, menurunkan harga, meningkatkan keberkesanan kos, dan membolehkan terapi baharu disediakan untuk pesakit.

Semalam, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa mengumumkan Pharmaniaga telah diberikan perjanjian bersyarat untuk terus menyediakan bekalan perubatan kepada kerajaan.

Langkah itu dibuat walaupun Bursa Malaysia telah memasukkan Pharmaniaga di bawah klasifikasi Nota Amalan 17, yang menandakan syarikat itu mengalami masalah kewangan.

Azrul menambah, ketua audit negara juga mendapati Pharmaniaga telah menyediakan ventilator yang rosak kepada Kementerian Kesihatan semasa kecemasan kesihatan awam.

Beliau berkata, adalah mengecewakan dan membingungkan untuk memberi ganjaran kepada syarikat yang telah membuat keputusan perniagaan bermasalah berhubung vaksin Covid-19, sehingga menelan belanja lebih setengah bilion ringgit.

“Adakah ini akan menjadi pendekatan apabila GLC ini menghadapi masalah kewangan?”.

Azrul juga berkata, membenarkan persaingan sihat akan memaksa Pharmaniaga untuk melakukan penambahbaikan dan bukannya mengambil lewa sekiranya ia terus menguasai pasaran melalui monopoli.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.