Bawa keluar rakyat Malaysia dari Sudan jika situasi selamat, kata menteri

Bawa keluar rakyat Malaysia dari Sudan jika situasi selamat, kata menteri

Menteri Luar Negeri Zambry Abd Kadir berkata Lapangan Terbang Antarabangsa Khartoum, dianggap pintu keluar paling selamat, namun kini zon merah.

Imej satelit ini menunjukkan kapal terbang musnah di Lapangan Terbang Antarabangsa Khartoum pada Isnin.
PUTRAJAYA:
Kerajaan ketika ini belum dapat memindahkan 32 rakyat Malaysia yang terperangkap di Sudan selepas pertempuran berlaku di negara itu, berikutan lapangan terbangnya masih dianggap zon merah.

Menteri Luar Zambry Abd Kadir, berkata mengikut penilaian kementerian, Lapangan Terbang Antarabangsa Khartoum dianggap sebagai pintu keluar paling selamat.

“Bagaimanapun, ia masih belum dibuka semula kerana berlaku pertempuran.

“Kami akan membawa mereka keluar melalui lapangan terbang sebaik sahaja keadaan dilaporkan selamat,” katanya terdapat kapal terbang terbakar akibat pertempuran antara Angkatan Tentera Sudan (SAF) dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF).

Zambry berkata, rakyat Malaysia kini berada di tujuh lokasi dan dilaporkan selamat. Penduduk tempatan di situ telah membantu menyediakan bekalan makanan dan perubatan cukup untuk dua minggu, tambahnya.

Beliau tidak menolak kemungkinan lebih ramai rakyat Malaysia terperangkap di negara itu kerana angka itu berdasarkan mereka yang mendaftarkan nama dengan kedutaan.

Kedutaan Sudan telah berjanji untuk membantu rakyat Malaysia di negara itu, katanya.

Zambry juga berkata, SAF telah mengambil alih kompleks Petronas Sudan secara paksa untuk menjadikannya sebagai salah satu pangkalan mereka dan menjadikan bumbung blok B sebagai pos pemerhatian mereka.

Pertempuran antara tentera dan pasukan separa tentera di Sudan telah membunuh kira-kira 200 orang dan mencederakan 1,800 selepas tiga hari peperangan di bandar.

Perebutan kuasa yang berlarutan antara tentera bawah pimpinan pemerintah Abdel Fattah al-Burhan dan saingannya Rapid Support Forces (RSF) yang diketuai timbalannya Mohammed Hamdan Daglo semakin memuncak pada hujung minggu.

Semalam, komander-komander puak bertelagah Sudan bersetuju mengadakan gencatan senjata 24 jam susulan gesaan Setiausaha Negara AS Antony Blinken. Pertempuran sengit di Khartoum menyaksikan tembakan dilepaskan ke arah konvoi diplomatik AS.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.