Pukul, bakar anjing, lelaki dihukum 7 sebatan ringan

Pukul, bakar anjing, lelaki dihukum 7 sebatan ringan

Braden Yap Hong Sheng dilepaskan dengan bon berkelakuan baik selama setahun dan dibenarkan diikat jamin sebanyak RM10,000.

Mahkamah menetapkan 21 Mei ini untuk hukuman sebatan ringan itu dilaksanakan terhadap Braden Yap Hong Sheng secara terbuka pada 9 pagi di Mahkamah Sesyen Jenayah 4. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Mahkamah Sesyen Johor Bahru menjatuhkan hukuman tujuh sebatan ringan terhadap seorang pemuda yang didapati bersalah menyebabkan kesakitan secara kejam terhadap seekor anjing bulan lalu.

Hakim Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim juga memerintahkan Braden Yap Hong Sheng, 19, dilepaskan dengan bon berkelakuan baik selama setahun dan dibenarkan diikat jamin sebanyak RM10,000.

Sebelum menjatuhkan hukuman, hakim berkata, mahkamah memandang berat perbuatan tidak berperikemanusiaan Yap.

“Apa jua ancaman dilakukan oleh anjing itu terhadap kamu, kamu tidak sepatutnya bertindak kejam hanya kerana sakit hati, sepatutnya kamu membuat laporan kepada agensi penguatkuasaan untuk ambil tindakan,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, hukuman itu mengambil kira faktor Yap sebagai pesalah muda, kesalahan pertama, dia insaf dan membuat pengakuan bersalah di peringkat awal.

Katanya, hukuman penjara tidak sesuai dijatuhkan ke atas Yap, tetapi menjadi tanggungjawab mahkamah untuk memberi hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor kepentingan awam sebagai memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan kejamnya menyebabkan kesakitan tidak sepatutnya ke atas seekor anjing betina berwarna coklat di depan sebuah premis di Jalan Impian Emas 22, Taman Impian Emas, Skudai pada 1.49 pagi 27 Mac lalu.

Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29(1) akta sama.

Mahkamah menetapkan 21 Mei ini untuk hukuman sebatan ringan itu dilaksanakan terhadap Yap secara terbuka pada 9 pagi di Mahkamah Sesyen Jenayah 4.

Berdasarkan fakta kes, kira-kira 12.30 tengah hari 28 Mac lalu, doktor veterinar JPV Johor memeriksa seekor anjing berdasarkan aduan awam berkaitan seorang lelaki memukul dan membakar anjing itu yang didapati dalam keadaan ketakutan, terdapat kesan lebam dan terbakar di paha kiri, luka di kaki depan dan pendarahan di mata kiri.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup, tertuduh didapati memukul dan membakar anjing itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.