
Panel tiga anggota terdiri daripada Hakim Besar Malaya, Zabidin Diah, Hakim Mahkamah Persekutuan, Nallini Pathmanathan dan Rhodzariah Bujang dalam keputusan sebulat suara berkata, tiada merit dalam rayuan itu.
Cadangan projek pembangunan bercampur itu termasuk sebuah pangsapuri 29 tingkat dengan 350 unit rumah mampu milik, lapan blok pangsapuri perkhidmatan dan lapan tingkat ruang parkir.
Perayu termasuk Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dan pemaju Memang Perkasa Sdn Bhd, merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 2021 yang menolak perintah pembangunan Taman Rimba Kiara dikeluarkan DBKL pada 2017, selepas ia memihak kepada penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI) dalam rayuan semakan kehakiman.
Nalini ketika menyampaikan penghakiman itu berkata, datuk bandar tersilap dalam keputusannya meluluskan perintah pembangunan itu.
Katanya, datuk bandar menukar penggunaan tanah secara tidak wajar daripada taman awam kepada pembangunan bercampur tanpa penjelasan.
Di bawah Pelan Struktur KL, Taman Rimba Kiara bertujuan dijadikan taman awam.
Nalini berkata, Pelan Struktur KL adalah dokumen sah di sisi undang-undang dan datuk bandar wajib mematuhinya.
“Untuk memberi rancangan pembangunan kuasa undang-undang sendiri bertujuan memastikan perancangan di Wilayah Persekutuan tercapai berdasarkan prinsip perancangan bersepadu.
“Kesinambungan, kawalan dan kawal selia perancangan bandar di Wilayah Persekutuan tercapai apabila rancangan pembangunan diwartakan dan diberikan kuasa undang-undang.
“Justeru, disebabkan mempunyai kuasa undang-undang, ‘pematuhan secara tepat” diperlukan untuk rancangan pembangunan berkanun seperti ditetapkan dalam Akta Wilayah Persekutuan dan Pelan Struktur KL.”
Konflik kepentingan, tiga peranan datuk bandar
Mahkamah tertinggi itu memutuskan datuk bandar mempunyai “tiga peranan” berhubung penukaran status tanah itu dan berada dalam situasi konflik kepentingan.
Nalini berkata, beliau mengambil bahagian dalam keputusan DBKL meluluskan pemberian hak milik tanah itu, selain merupakan ahli lembaga pemegang amanah YWP dan mengeluarkan perintah pembangunan melalui DBKL.
YWP, yayasan kebajikan di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan, menjalin usaha sama dengan Memang Perkasa untuk membangunkan Taman Rimba Kiara.
Perayu berhujah datuk bandar tidak menandatangani perintah pembangunan itu dan tidak menyertai mesyuarat untuk memberi kebenaran merancang bagi tanah berkenaan.
Merujuk Seksyen 5 Akta Ibu Kota Persekutuan 1960, yang menggambarkan datuk bandar sebagai “korporat tunggal di bawah nama ‘Dato Bandar Kuala Lumpur’”, Nalini berkata: “Ia adalah institusi datuk bandar yang meluluskan permohonan kebenaran merancang, bukannya orang itu.
“Hakikatnya, individu yang memegang jawatan itu tidak menangani perintah pembangunan itu dan tidak menyertai mesyuarat kebenaran merancang tidak mengatasi konflik kepentingan institusi dalam kes ini.”
Mahkamah turut memutuskan penduduk TTDI mempunyai alasan dari segi undang-undang untuk menyaman kerana mereka mempunyai kepentingan tulen dalam tanah itu.
Nalini berkata, pihak berkuasa awam seperti DBKL mempunyai “kewajipan berterus-terang” kerana mereka bertindak demi kepentingan awam, termasuk memberi pendedahan penuh ketika sesuatu kes dibawa ke mahkamah.
“Pendedahan penuh adalah kepentingan utama dalam melaksanakan bidang kuasa penyeliaan mahkamah dalam prosiding semakan kehakiman.
“Menjadi tanggungjawab mahkamah untuk melindungi kepentingan awam apabila tanah diperuntukkan bagi ruang awam ditukar daripada kegunaan awam dan digunakan untuk pemilikan persendirian tanpa pengetahuan orang ramai.”
Sehubungan itu, mahkamah memerintahkan DBKL membayar kos guaman RM100,000 kepada penduduk, manakala YWP dan Memang Perkasa masing-masing perlu membayar RM80,000 serta RM70,000.