
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata kerajaan juga bersetuju dengan semakan semula dan penambahbaikan bagi petunjuk serta pengagihan Pemberian Tahap.
Katanya, keputusan itu menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam menyediakan peluang kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan projek pembangunan mengikut keutamaan dan acuan negeri masing-masing.
“Seterusnya dapat memperkukuh lagi momentum pemulihan ekonomi ke arah pembangunan Malaysia Madani,” katanya dalam kenyataan.
Ketetapan itu dibuat dalam mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2023 yang dipengerusikan Anwar, dengan dihadiri semua menteri besar dan ketua menteri atau wakil setiap negeri, hari ini.
Selain itu, kerajaan negeri juga disaran untuk memberi keutamaan kerja penyelenggaraan jalan di negeri masing-masing kepada kontraktor kelas G1 hingga G4 dan tidak hanya tertumpu kepada beberapa syarikat konsesi besar sahaja.
“Langkah ini bertujuan untuk membantu kitaran ekonomi kontraktor-kontraktor kecil dengan lebih adil dan secara tidak langsung dapat merangsang pertumbuhan ekonomi negara lebih tuntas,” katanya.
Pada masa sama, Anwar berkata Kementerian Kewangan akan menambah peruntukan sebanyak RM250 juta lagi bagi penyelenggaraan berkala pavement Jalan Persekutuan untuk menangani masalah jalan raya berlubang yang menjadi antara penyumbang kepada kemalangan.
“Peruntukan tambahan ini juga akan dikhususkan untuk manfaat kontraktor-kontraktor kecil Bumiputera.
“Penambahan ini menjadikan peruntukan keseluruhan penyelenggaraan berkala pavement Jalan Persekutuan meningkat kepada RM1 bilion berbanding RM750 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2023,” katanya.
Selain itu katanya, pakej insentif cukai bagi pelaburan ke negeri dilanjutkan bagi tempoh peralihan dua tahun sehingga 31 Dis 2024 melibatkan negeri seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Sabah.
“Ia selaras hasrat kerajaan untuk mengimbangi pembangunan di seluruh negara melalui aktiviti pelaburan yang dilaksanakan oleh pihak swasta.
“Ini juga sebagai satu langkah interim ke arah pemakaian struktur insentif baharu yang lebih menyeluruh,” katanya.