Kakitangan bank ditekan, diarah segerakan transaksi berkait 1MDB, saksi beritahu mahkamah

Kakitangan bank ditekan, diarah segerakan transaksi berkait 1MDB, saksi beritahu mahkamah

Bekas pegawai bank Singapura Kevin Michael berkata mereka tidak selesa ketika mengurus akaun berkait 1MDB.

Najib Razak berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram. (Gambar AP)
KUALA LUMPUR:
Bekas pegawai bank Singapura memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa kakitangan Bank BSI menerima tekanan daripada 1MDB Global Investment Limited (1MDBGIL) untuk mempercepatkan proses pelaburan USD2.72 bilion ke dalam akaun syarikat disasarkan.

Bekas ketua perkhidmatan pengurusan dana Bank BSI, Kevin Michael Swampillai, 59, berkata wang dalam 1MDBGIL dan akaun pelanggan berkaitan 1MDB tidak berada dalam akaun syarikat terlalu lama kerana sentiasa ada gesaan ditunjukkan oleh syarikat untuk melabur wang itu dalam dana fidusiari secepat mungkin.

Kevin berkata, disebabkan itu, kakitangan Bank BSI terlibat dalam dana itu seringkali diingatkan mereka mengendalikan urus niaga sensitif dan terikat masa melibatkan dana kekayaan negara milik kerajaan Malaysia dan sikap berpuas hati tidak akan diterima oleh 1MDBGIL.

Katanya, beliau tidak terkejut apabila mengetahui sejumlah besar urusniaga dana fidusiari berlaku dalam masa sehari 1MDBGIL menerima USD2.721 bilion dalam akaunnya di Bank BSI.

“Ketidakselesaan saya dengan urus niaga ini adalah dari hari pertama. Ia tidak khusus kepada 1MDBGIL tetapi lebih kepada semua transaksi yang melibatkan syarikat berkaitan 1MDB. Transaksi berkenaan sekurang-kurangnya dilihat meragukan,” katanya.

Kevin berkata, demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Najib Razak, Shafee Abdullah pada perbicaraan Najib melibatkan penyelewengan RM2.3 bilion daripada dana 1MDB.

Saksi pendakwaan ke-44 itu, berkata beliau memahami tekanan untuk mempercepatkan proses aliran wang datang daripada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, yang kemudiannya menyerahkan kepada seorang lagi Pengurus Perhubungan Bank BSI, Yak Yew Chee, yang menguruskan akaun 1MDBGIL.

Shafee: Apabila tekanan itu dilaksanakan, satu lagi elemen bendera merah telah dinaikkan. Adakah betul pegawai Bank BSI sentiasa diingatkan bahawa mereka berurusan dengan dana kerajaan Malaysia?

Kevin: Itu benar.

Peguam kanan itu kemudian bertanya kepada Kevin, sama ada beliau mengetahui penglibatan Jho Low dalam 1MDBGIL, yang saksi itu menjawab secara afirmatif.

“Beliau diletakkan sebagai pemboleh dan penasihat (bagi 1MDBGIL). Saya tahu ia tidak jelas tetapi itulah yang disampaikan,” katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung 8 Mei.

Najib berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan amaun sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.