
Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi, berkata langkah itu bagi mengelakkan kesesakan jalan raya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan tinjauan Persiapan Lebuhraya dan Tol Sempena Perayaan Hari Raya, Plaza Tol Gombak, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak.
“Saya sudah mengarahkan semua kerja-kerja penyelenggaraan jalan di lebuh raya dihentikan serta merta bermula 18 Apr hingga 7 Mei.
“Ia sudah dipersetujui konsesi bahawa tidak ada kerja penyelenggaraan dijalankan selama 20 hari supaya tidak menganggu perjalanan pengguna di jalan raya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyambut baik inisiatif Tol Rahmah percuma, pengecualian bayaran tol selama empat hari untuk semua pengguna jalan raya yang akan pulang ke kampung halaman sempena Aidilfitri.
Beliau berkata, pemberian tol percuma selama empat hari itu melibatkan semua 33 lebuh raya, di mana ia merupakan pertama kali diberikan kerajaan kepada pengguna jalan raya.
“Melibatkan kesemua 33 lebuh raya, berbanding Tahun Baharu Cina hanya beberapa lebuh raya sahaja diberikan tol percuma, ini adalah pertama kali melibatkan hampir semua lebuh raya,” katanya.