Dituduh edar dadah, suami isteri terlepas tali gantung

Dituduh edar dadah, suami isteri terlepas tali gantung

Mahkamah dapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Ku Swee Hing dan Chen Mui Fung dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Ayer Keroh atas pertuduhan mengedar methamphetamine seberat 455g, lima tahun lalu.
PETALING JAYA:
Suami isteri terlepas hukuman gantung Mahkamah Tinggi Ayer Keroh melepas dan membebaskan pasangan itu atas pertuduhan mengedar dadah methamphetamine seberat 455g di sebuah rumah di Solok Bukit Pulau, Melaka, lima tahun lalu.

Hakim Mohd Radzi Abdul Hamid memutuskan melepas dan membebaskan Ku Swee Hing, 59, dan Chen Mui Fung, 42, selepas meneliti semua keterangan mengikut peruntukan Seksyen 182A(1) Kanun Prosedur Jenayah dan mendapati mereka berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Menurutnya, pembelaan mengemukakan empat saksi (SD) iaitu kedua-dua tertuduh (SD1 dan SD2), rakan abang tertuduh (SD3), dan anak tertuduh (SD4), lapor Berita Harian.

Katanya, pembelaan antara lain menghujahkan keterangan SD2 menjelaskan beg berisi dadah berwarna jingga itu dibawa lelaki bernama ‘Ah Man’ iaitu rakan kepada abang tertuduh, Khoo Hock dan disokong oleh keterangan SD3 dan SD4.

“Pembelaan juga menyatakan ketika serbuan Khoo Hock, Ah Man, dan seorang lagi rakan mereka bernama Chu Khai Long ada di rumah itu.

“Tertuduh pertama pula ditangkap di Kuala Lumpur, manakala tertuduh kedua ditahan di rumah dan tiada apa-apa keterangan mengaitkan mereka dengan beg berisi dadah disimpan dalam stor di rumah itu kerana masing-masing tidak memiliki alat kawalan untuk membukanya,” katanya ketika membacakan penghakimannya di akhir kes pembelaan.

Radzi berkata, pihak pendakwaan menghujahkan pembelaan tertuduh adalah difikirkan kemudian (afterthought) dan tiga nama itu tidak pernah dicadangkan ketika kes pendakwaan khususnya mengenai Ah Man membawa beg jingga.

Beliau berkata, mahkamah tidak dapat menolak keterangan SD3 dan SD4 selepas meneliti perilaku dan mendapati mereka telus ketika memberi keterangan yang mungkin betul mengenai rakan abang tertuduh.

Katanya, kegagalan saksi pendakwaan kelima (SP5) iaitu pegawai penyiasat menyiasat SD3 memprejudiskan kedua-dua tertuduh, manakala tindakan Khoo Hock menghilangkan diri selepas dirakam keterangan turut menimbulkan keraguan terhadap kes pendakwaan.

“Selepas meneliti semua keterangan, mahkamah mendapati pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah, manakala pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah,” katanya.

Mengikut pertuduhan mereka didakwa bersama-sama mengedar dadah berbahaya methamphetamine seberat 455g di rumah alamat C-5943, Solok Bukit Pulau, Bukit Baru, pada 30 Mac 2018, 12.10 tengah malam.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Muzila Mohamed Arsad manakala kedua-dua tertuduh diwakili Peguam Syaheera Rosli dan Muhammad Izzat Irfan Taib.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.