Cuba rempuh polis, kenderaan disyaki bawa syabu ditembak

Cuba rempuh polis, kenderaan disyaki bawa syabu ditembak

Tembakan itu mengenai tayar kereta dinaiki dua suspek yang disyaki membawa dadah.

Ketua Polis Kedah Wan Hassan Wan Ahmad berkata seorang daripada suspek berjaya ditahan manakala seorang lagi sempat melarikan diri. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis melepaskan tembakan ke arah kenderaan asing disyaki membawa syabu susulan cubaan merempuh anggota penguat kuasa.

Dalam kejadian 3 petang semalam, anggota polis melepaskan tembakan mengenai tayar kereta dinaiki dua lelaki sebelum mereka cuba melarikan diri dalam operasi pencegahan jenayah narkotik di Kampung Pondok Labu, Kulim, Kedah.

Ketua Polis Kedah, Wan Hassan Wan Ahmad, berkata kejadian berlaku selepas polis menerima maklumat berkaitan jenayah dadah di kawasan kampung berkenaan.

Katanya, ketika melakukan rondaan di kawasan terbabit anggota polis terserempak dengan sebuah kereta jenis Honda Civic bernombor pendaftaran Thailand yang berada dalam keadaan mencurigakan.

“Semasa anggota polis ingin membuat pemeriksaan ke atas kereta berkenaan, secara tiba-tiba pemandu kereta itu bertindak agresif dengan memecut laju sehingga cuba merempuh anggota terbabit.

“Melihat tindakan kereta itu yang boleh membahayakan nyawa, anggota kita terpaksa mempertahankan diri dengan menembak tayar hadapan kereta terbabit sehingga pancit,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Wan Hassan berkata, suspek terus melarikan diri ke arah Empangan Mengkuang di Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang sebelum berhenti akibat terbabas.

“Kita berjaya menahan seorang suspek iaitu pemandu kereta terbabit, manakala seorang lagi suspek berjaya melarikan diri. Hasil pemeriksaan menjumpai satu bungkusan disyaki mengandungi dadah jenis syabu yang dianggarkan seberat 1.80g.

“Semakan ke atas suspek berusia 36 tahun itu mendapati dia mempunyai 24 rekod kesalahan lampau melibatkan kes jenayah dan dadah,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 kanun sama dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.