
MalaysiaGazette melaporkan, timbalan ketua penerangan PKR itu menerima mandat daripada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, baru-baru ini.
Ramanan juga mengesahkan beliau akan mengadakan mesyuarat pertama bersama empat lagi ahli jawatankuasa yang baru dilantik agensi itu.
Mereka ialah Senator C Sivarraajh dari MIC, Ahli Parlimen Klang dari DAP V Ganabatirau, R Yuneswaran (PKR) dan Ketua Pengarah Mitra, K Raveendran Nair.
“Esok, selepas mesyuarat kita akan adakan sidang media di pejabat Mitra di Putrajaya. Kita akan memaklumkan hala tuju dan perancangan,” katanya.
Mitra dikenali sebagai Unit Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (Sedic) di bawah pentadbiran bekas perdana menteri Najib Razak dan dibentuk pada 2013.
Objektif penubuhannya adalah untuk memperkasakan komuniti India terutama kumpulan berpendapatan rendah B40.
Selepas kekalahan Barisan Nasional pada 2018, ia ditukar nama kepada Mitra oleh kerajaan Pakatan Harapan.
Ketika pentadbiran Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri, Mitra diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri, yang turut meluluskan penubuhan Yayasan Mitra.
Bagaimanapun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Mitra berdepan dakwaan skandal penyelewengan termasuk ada antara mereka turut didakwa di mahkamah.