90% tiket tambahan ETS ke Utara dijual, kata Loke

90% tiket tambahan ETS ke Utara dijual, kata Loke

Menteri pengangkutan berkata ia selepas tiket biasa ETS dan KTMB Intercity bermula 19 hingga 25 April habis dijual bagi sektor utara.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata sebanyak 8,820 tiket tambahan ETS laluan pergi dan balik KL Sentral-Padang Besar dan KL Sentral-Butterworth disediakan sejak dibuka 24 Mac lepas. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Sebanyak 90% daripada 8,820 tiket tambahan perkhidmatan tren elektrik (ETS) laluan pergi dan balik KL Sentral-Padang Besar dan KL Sentral-Butterworth dijual sejak mula dibuka pada 24 Mac lepas sehingga kini.

Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, berkata penambahan empat tren itu susulan permintaan tinggi daripada orang ramai selepas tiket biasa ETS dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Intercity bermula 19 hingga 25 April habis dijual bagi sektor utara.

“Semua ini adalah usaha kerajaan untuk memastikan lebih ramai rakyat dapat pulang ke kampung masing-masing menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam walaupun kita ada kapasiti yang terhad,” katanya kepada pemberita selepas mengedarkan 1,000 pek hari raya di KL Sentral.

Beliau berkata, selain laluan sektor utara, KTMB juga menawarkan perkhidmatan Tren Khas Ekspres Lambaian Aidilfitri, buat pengguna ingin pulang ke pantai timur.

Menurutnya, bermula dari stesen KL Sentral hingga ke stesen Tumpat, perkhidmatan itu menawarkan empat perjalanan pergi dan balik dengan 1,864 tiket.

Setakat hari ini, katanya sebanyak 1,685 tiket telah terjual bagi perkhidmatan tersebut.

Sementara itu, mengenai cadangan kerajaan Sarawak untuk menubuhkan sebuah syarikat penerbangan butik, Loke berkata, ia akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet esok.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersetuju secara prinsipnya dengan cadangan itu, dan berkata penubuhan syarikat penerbangan tersebut boleh meredakan keadaan kadar tambang mahal khususnya antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.