Kementerian siasat syarikat tertera dalam visa pekerja Bangladesh terkandas

Kementerian siasat syarikat tertera dalam visa pekerja Bangladesh terkandas

Siasatan itu berkaitan dakwaan NGO dan aktivis bahawa syarikat terbabit mungkin menyalahgunakan kuota pekerja asing.

Dilaporkan ramai pekerja Bangladesh tiba di Malaysia dengan dijanjikan pekerjaan, tetapi akhirnya diabaikan tanpa sebarang pekerjaan.
PETALING JAYA:
Kementerian Sumber Manusia sedang menyiasat syarikat yang namanya muncul dalam visa kerja sementara 95 warga Bangladesh diabaikan tanpa sebarang pekerjaan selepas tiba di Malaysia Disember lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Asri Rahman, berkata siasatan itu berkaitan dakwaan NGO dan aktivis bahawa syarikat terbabit mungkin menyalahgunakan kuota pekerja asing.

“(Syarikat itu) masih dalam siasatan. Sebaik saja siasatan selesai, kami akan berbalik atau mengadakan sidang media,” katanya kepada FMT dalam mesej ringkas WhatsApp.

Beliau ditanya mengenai dakwaan syarikat itu, yang namanya tidak didedahkan sementara menunggu maklum balas, menggunakan kaedah itu untuk membawa masuk pekerja asing dengan data mengelirukan.

Semakan dengan Suruhanjaya Syarikat (SSM) menunjukkan syarikat itu ditubuhkan pada 2003 dan sifat perniagaannya ialah pembuatan, pemasangan dan perdagangan produk elektronik, kontraktor, pengubah suai serta kerja pembinaan lain yang berkaitan.

Menurut laporan itu, syarikat terbabit mengalami kerugian kira-kira RM97,000 tahun lalu.

Aktivis pekerja asing, Andy Hall yang mendedahkan beberapa kes pekerja Bangladesh tiba di Malaysia dan ditinggalkan tanpa pekerjaan, berkata pihak berkuasa perlu menjelaskan bagaimana syarikat tertentu mendapat kuota diluluskan tanpa sebarang pengesahan.

“Ramai tertanya-tanya sama ada penahanan pegawai kanan menteri sumber manusia baru-baru ini ada kaitan majikan sedang disiasat Jabatan Tenaga Kerja dalam kes ini.

“Apa pun, masyarakat sivil seperti saya gembira kerana jabatan itu akhirnya menyiasat syarikat yang namanya muncul dalam visa kerja sementara pekerja.

“Kami berharap pihak berkuasa akan membantu pekerja itu mencari kerja kerana mereka meminjam begitu banyak wang untuk datang ke sini dan kini dalam situasi teruk terikat dengan hutang,” katanya kepada FMT.

Semalam, Suruhanjaya Tinggi Bangladesh membidas proses kelulusan kerajaan Malaysia untuk pengambilan pekerja asing kurang telus yang menyebabkan mereka tiba di Malaysia tanpa sebarang pekerjaan.

“Ia tanggungjawab Jabatan Tenaga Kerja di bawah Kementerian Sumber Manusia untuk memastikan hak undang-undang semua pekerja domestik dan asing. Mustahil semua kedutaan negara sumber mengesahkan permintaan untuk pekerja.

“Kedutaan perlu bergantung kepada kelulusan pihak berkuasa Malaysia. Dalam kebanyakan kes, Suruhanjaya Tinggi Bangladesh mengesahkan permintaan itu melalui dokumen berkaitan, tidak kira kelulusan pelbagai pihak Malaysia itu betul atau sebaliknya.”

Kenyataan itu sebagai respons terhadap laporan baru-baru ini bahawa ramai pekerja Bangladesh berdepan kesusahan selepas menghabiskan kira-kira RM20,000 ke Malaysia dengan dijanjikan pekerjaan, tetapi akhirnya ditinggalkan tanpa sebarang pekerjaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.