Jangan tutup mata aktiviti jual semula tiket penerbangan, kata Wee

Jangan tutup mata aktiviti jual semula tiket penerbangan, kata Wee

Presiden MCA itu mempersoalkan kenapa Kementerian Pengangkutan tidak mengambil tindakan pada pihak ketiga yang menjual semula tiket Malaysia Airlines.

Bekas menteri pengangkutan, Wee Ka Siong berkata, Kementerian Pengangkutan bertanggungjawab memantau harga tiket penerbangan di semua aplikasi bagi mengelak pengguna menjadi mangsa. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Presiden MCA Wee Ka Siong mempersoalkan kenapa AirAsia atau aplikasi Super App boleh menjual semula tiket penerbangan Malaysia Airlines pada harga lebih tinggi berbanding harga asal.

Wee berkata, terdapat ramai penumpang yang masih menggunakan aplikasi pihak ketiga untuk membuat perbandingan harga bagi mendapatkan tawaran terbaik.

“Jika AirAsia atau Super App tidak dibenarkan menjual semula atau menempah penerbangan Malaysia Airlines, maka apakah tindakan Kementerian Pengangkutan mengenai perkara ini?

“Takkan tutup mata dan terus membenarkan amalan ini?” kata bekas menteri pengangkutan itu di Facebook.

Katanya, menjadi tanggungjawab Kementerian Pengangkutan dan agensinya memantau dan memastikan pengguna tidak menjadi mangsa kenaikan harga tiket penerbangan yang tidak munasabah.

Wee juga menggesa Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menyiasat kenaikan harga tiket penerbangan kelas ekonomi bagi perjalanan dari Kuala Lumpur ke Tawau, yang dijual di aplikasi tertentu hingga mencecah RM3,200.

“Kita hanya menyentuh tentang kenaikan melampau harga tiket bagi kelas ekonomi sehingga mencecah RM3,138 sehala. Siapa yang mengaut keuntungan, Mavcom sila siasat,” katanya.

Wee dan Loke berbalas kenyataan berhubung harga tiket kapal terbang yang tinggi bagi penerbangan domestik selepas Wee mendakwa tiket pergi balik kelas ekonomi Malaysia Airlines dari Kuala Lumpur ke Tawau pada 20 Apr berharga RM3,138.

Loke kemudian berkata, tiket itu adalah untuk kelas perniagaan, bukan ekonomi. Sebagai maklum balas, Wee melalui Facebook menunjukkan bahawa semakan di AirAsia Super App menunjukkan penerbangan dua hala kelas ekonomi Malaysia Airlines dari KL ke Tawau akan menelan kos RM3,138.

Hari ini, Loke menyindir Wee kerana menggunakan aplikasi AirAsia untuk menyemak harga tiket penerbangan Malaysia Airlines dari Kuala Lumpur ke Tawau, Sabah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.