Dakwa Dr M mengayakan diri, Anwar beritahu jumpa di mahkamah

Dakwa Dr M mengayakan diri, Anwar beritahu jumpa di mahkamah

Presiden PKR itu tidak berhasrat menjawab sebarang dakwaan bekas perdana menteri itu melalui surat menyurat.

Anwar Ibrahim didakwa mengeluarkan pernyataan fitnah terhadap Dr Mahathir Mohamad berhubung salah guna kuasa untuk mengayakan diri dan keluarga.
PETALING JAYA:
Anwar Ibrahim sedia bersemuka dengan Dr Mahathir Mohamad di mahkamah bagi menjawab segala dakwaan dikemukakan bekas perdana menteri itu.

Tetuan Thomas Philip yang mewakili presiden PKR itu, berkata anak guamnya menafikan segala dakwaan dan kandungan notis tuntutan dikemukakan berhubung pernyataan fitnah dibuat Anwar, pada Kongres Nasional Khas PKR.

“Dalam hal ini, anak guam kami bersedia menjawab sebarang dakwaan (jika ada) di mahkamah dan bukan melalui surat menyurat sekiranya anak guam tuan (Mahathir) ingin meneruskan tindakan guaman,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Mahathir menggesa Anwar memohon maaf memandangkan hari ini adalah hari terakhir untuknya menjawab notis tuntutan selepas menuduh beliau menyalahguna kuasa untuk mengayakan diri dan keluarga.

Katanya, jika Anwar gagal berbuat demikian serta menarik balik tuduhan tersebut, beliau akan terus mengarahkan peguamnya mengambil tindakan undang-undang.

“Hari ini hari terakhir untuk Anwar dan peguamnya menjawab surat daripada peguam saya yang memintanya untuk menarik balik fitnah dan meminta maaf kerana menuduh saya menyalah guna kuasa untuk memperkaya keluarga.

“Jika tidak, saya arah peguam saya untuk teruskan tindakan undang-undang tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Pada kongres PKR bulan lalu, Anwar mendakwa bekas perdana menteri itu yang mengetuai pentadbiran selama 22 tahun bawah kerajaan Barisan Nasional, dan 22 bulan semasa Pakatan Harapan memerintah pada 2018, mengayakan diri dan keluarganya ketika berkuasa.

Pada 28 Mac, Mahathir mengumumkan peguamnya menuntut Anwar menarik balik kenyataan dalam tempoh tujuh hari.

Peguam Anwar kemudian memaklumkan pihaknya akan menjawab notis tuntutan dikemukakan Mahathir pada 17 Apr.

Dalam pada itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi, menyokong Anwar mendedahkan “penyelewengan” Mahathir.

“Itu bukan gaduh. Itu ‘amal maaruf nahi munkar’ (berbuat baik dan mencegah kemungkaran),” katanya di Facebook.

Sebelum itu, Puad menggambarkan Mahathir merupakan pemimpin yang suka mencari gaduh.

“Bila masa Tun M tidak gaduh dengan orang. Semua orang dia gaduh. Dengan sultan dia gaduh. Dengan semua perdana menteri dia gaduh. Dengan timbalan perdana (menteri) bawahnya pun bergaduh.

“Dia gaduh dengan ketua hakim, peguam negara dan Umno. Dia juga gaduh dengan Mukriz anaknya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.