
Bestinet dalam satu kenyataan berkata, Santiago “jelas salah faham” berhubung peranan syarikat itu dan asas perniagaannya.
“Kami kecewa Santiago memilih isu yang tidak benar dan tuduhan mengelirukan terhadap Bestinet tanpa meminta sebarang dialog. Bestinet menuntut permohonan maaf dan segera menarik semula kenyataan oleh Santiago itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, Bestinet menganggap tuduhan Santiago sangat serius dan syarikat itu mempunyai hak untuk mengambil semua langkah yang perlu bagi menuntut pampasan dan kerugian daripada dakwaan tersebut.
Samalam, Santiago menggesa kerajaan menyingkirkan Bestinet dan broker buruh agar proses pengambilan pekerja asing menjadi lebih telus.
Bekas Ahli Parlimen Klang itu berkata, Bestinet dikawal oleh broker buruh utama.
Pada Julai tahun lepas, syarikat itu diserbu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia selepas sebuah agensi buruh di Dhaka menuduh pengasas Bestinet “meyakinkan” kerajaan untuk mengehadkan bilangan agensi yang membekalkan pekerja Bangladesh kepada hanya 25.
Santiago berkata, pengurusan pengambilan pekerja asing harus diletakkan bawah Pejabat Perdana Menteri, bukannya Kementerian Dalam Negeri mahupun Kementerian Sumber Manusia.
Bestinet adalah penyedia sistem IT untuk pengambilan pekerja dari semua negara sumber.
Dalam kenyataan itu, Bestinet berkata syarikat itu diberi mandat oleh kerajaan pada 2013 untuk melaksanakan sistem pengurusan pekerja asing berpusat.
“Bestinet bukanlah agensi pengambilan pekerja asing atau terlibat dalam operasi pengambilan pekerja di Malaysia atau di mana-mana negara sumber,” katanya.
Katanya, semua perkara berkait proses pengambilan pekerja asing, termasuk jumlah ejen pengambilan, adalah dibincang dan dipersetujui di peringkat kerajaan kepada kerajaan, antara Putrajaya dan negara sumber.
“Pengurusan Bestinet termasuk pengasasnya tidak terlibat dalam proses ini,” katanya yang menambah jumlah sebenar syarikat di Bangladesh yang diluluskan untuk membekalkan pekerja adalah 100 bukannya 25.