
Dalam kejadian pada kira-kira 4.20 petang itu, pemandu bas, Mohamad Amirudin Azhar, 26, putus tangan kanannya manakala dua penumpangnya cedera ringan.
Siasatan awal polis mendapati bas yang membawa dua orang penumpang itu sedang dalam perjalanan dari Kota Bharu menghala ke Kuala Terengganu apabila dipercayai hilang kawalan.
Bas itu kemudian merempuh sisi kiri belakang sebuah lori yang sedang berhenti di kawasan lampu isyarat, menurut polis.
“Keadaan itu menyebabkan lori terbabit meluncur ke hadapan dan melanggar tiga buah kereta yang berhenti di hadapannya,” kata Ketua Polis Pasir Puteh Zaizul Rizal Zakaria, lapor Kosmo.
“Pemandu bas itu yang putus tangan kanannya dibawa ke Hospital Tengku Anis (Pasir Puteh) untuk rawatan lanjut.”
Tambahnya, selain penumpang bas yang cedera ringan, pemandu lori dan pemandu tiga buah kereta yang dirempuh tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.