Pekerja sambilan agensi kerajaan didakwa hantar komunikasi lucah

Pekerja sambilan agensi kerajaan didakwa hantar komunikasi lucah

Muhammad Zakir Ramli, 29, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar atas tuduhan yang dibuat mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia.

Seorang pekerja sambilan didakwa menghantar gambar bersifat lucah menggunakan aplikasi WhatsApp pada Mei 2021. (Gambar Pixabay)
ALOR SETAR:
Seorang pekerja sambilan di sebuah agensi kerajaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas satu tuduhan menghantar komunikasi lucah dengan niat menyakitkan hati orang lain kira-kira dua tahun lepas.

Muhammad Zakir Ramli, 29, didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi, iaitu gambar yang bersifat lucah menggunakan aplikasi WhatsApp antara 7.30 pagi pada 20 Mei 2021 hingga 3.02 pagi 28 Mei 2021.

Gambar itu kemudian dilihat pada 12.11 tengah hari, 28 Mei 2021, di sebuah kilang di Jalan Bukit Wang, Kampung Padang Panjang, Jitra.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Nazrul Nizam Mohd Zameri kemudian memohon mahkamah mengenakan jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin ke atas tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jumlah jaminan lebih rendah memandangkan dia bekerja sambilan dengan gaji sekitar RM1,400 sebulan dan perlu menyara isteri serta seorang anaknya berusia setahun.

Hakim Jean Sharmila Jesudason membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM800 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Mei ini sebagai tarikh serahan dokumen dan lantikan peguam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.