Kerajaan rancang perkenal rangkaian 5G kedua, menurut laporan

Kerajaan rancang perkenal rangkaian 5G kedua, menurut laporan

Menurut Reuters, cadangan berkenaan rangkaian 5G kedua dijangka dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu ini.

Menurut laporan pada minggu lalu, liputan rangkaian 5G di Malaysia sudah mencapai 55%. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Kerajaan dipercayai merancang untuk memperkenalkan rangkaian 5G kedua pada Jan tahun depan dalam langkah untuk menghapuskan monopoli dan menggalakkan persaingan.

Menurut laporan Reuters yang memetik sumber, kerajaan mempertimbangkan untuk memperkenalkan satu lagi rangkaian untuk bersaing dengan Digital Nasional Berhad (DNB) yang memonopoli pasaran.

DNB syarikat di bawah Kementerian Kewangan untuk melancarkan rangkaian 5G di seluruh negara.

Kata sumber itu lagi, kertas cadangan untuk rangkaian kedua itu dijangka dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu.

Rancangan rangkaian kedua itu akan menjadi pelan kontingensi kepada DNB dan operator telekomunikasi lain bagi memastikan liputan rangkaian 5G mencapai sasaran kerajaan iaitu 80% kawasan berpenduduk menjelang tahun ini.

Ketika dihubungi Reuters, seorang pembantu Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata perkara itu masih dalam pertimbangan.

Pada minggu lalu, Bernama melaporkan, setakat 31 Mac rangkaian 5G di Malaysia sudah mencapai 55%.

Fahmi berkata, ia adalah satu perkembangan yang positif dan menunjukkan kerajaan di landasan bagi memastikan 80% kawasan berpenduduk menerima liputan rangkaian 5G menjelang akhir 2023.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.