
Katanya, permohonan itu mesti melalui proses dalaman dalam gabungan itu yang sehingga kini masih belum selesai.
“Ini bukan bermakna penyertaan Muda bukan isu penting tetapi usul belum dibangkitkan dalam Majlis Presiden,” katanya.
Adam yang juga ahli Majlis Presiden PH berkata “tiada siapa dalam PH yang membantah permohonan Muda”.
Katanya, permohonan akan dibincang menerusi usul yang dikemukakan kepada majlis.
“Kebanyakan usul dalam mesyuarat Majlis Presiden sebelum ini adalah berkait perkara mustahak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan ibu pejabat Pemuda PKR Pulau Pinang di Bandar Perda.
Pemimpin Muda sebelum ini mendesak PH untuk menamatkan penantian mereka selama beberapa bulan, sama ada parti itu diterima menyertai gabungan tersebut.
Muda membuat permohonan pada Sept tahun lalu.
PKR Pulau Pinang tumpu ‘kerusi bahaya’
Ketua Pemuda Pulau Pinang, Fadzli Roslan, berkata sayap itu akan menumpukan beberapa kerusi “bahaya” di Kepala Batas dan Permatang Pauh yang mungkin terlepas ke tangan Perikanan Nasional.
Katanya, jentera Pemuda bekerja keras bersama NGO tempatan dalam program untuk pengundi muda di kerusi berkenaan.
Sementara itu, Timbalan Pemuda PKR Kamil Munim berkata, “status quo” kekal apabila ditanya adakah PH sedia membenarkan Umno untuk bertanding kerusi yang PKR hilang kepada Bersatu.
Kerusi itu adalah Seberang Jaya, Sungai Acheh, Bertam dan Telok Bahang.
Katanya, PH patut bertanding di kerusi itu, kerana bekas penyandang memenangi kerusi itu sebelum ini atas tiket PKR.