
Syarikat itu berkata, satu-satunya pekerjanya, rakyat Malaysia dan penduduk lain di Kompleks Petronas Sudan di Khartoum dikesan selamat.
Menurutnya, kakitangan Petronas Group yang lain turut dilaporkan selamat, sama ada di kediaman masing-masing atau di luar negara.
“Petronas memantau dengan teliti keadaan, dan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan untuk memastikan keselamatan semua kakitangan, yang kekal menjadi keutamaan kami,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Kementerian Luar berkata pihaknya memantau situasi di Khartoum susulan pertempuran itu yang menyebabkan keadaan politik dan keselamatan di negara itu tidak stabil.
Kedutaan Malaysia di Khartoum mengesahkan berlaku pertempuran di beberapa bahagian di bandar itu susulan kekacauan yang tercetus, menurut Wisma Putra.
Kementerian berkata, semua rakyat Malaysia di Sudan yang kebanyakan pelajar berada dalam keadaan selamat.
Wisma Putra berkata pihaknya berhubung rapat dengan kumpulan itu dan memberikan bantuan yang diperlukan.
Kementerian menasihatkan semua rakyat Malaysia yang merancang pergi ke Sudan untuk menangguhkan perjalanan mereka hingga situasi stabil.
Dalam perkembangan terbaru, Reuters yang memetik Kesatuan Doktor Sudan berkata sekurangnya 25 terbunuh dan 183 lagi cedera dalam konflik di negara Afrika itu.
Pertempuran berterusan antara RSF dan tentera mungkin menyebabkan Sudan terjerumus dalam konflik besar-besaran ketika negara itu berdepan kemelesetan ekonomi dan keganasan antara puak.
Reuters melaporkan RSF yang juga kumpulan separa tentera utama Sudan mendakwa berjaya menguasai istana presiden dan lapangan terbang dalam serangan yang dilihat sebagai satu rampasan kuasa.