Jual ayam melebihi harga kawalan, 5 pembekal di Johor disiasat

Jual ayam melebihi harga kawalan, 5 pembekal di Johor disiasat

Exco negeri Lee Ting Han berkata, pembekal itu disyaki menjual melebihi harga kawalan iaitu RM8.10 sekilogram kepada peruncit.

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri Lee Ting Han meninjau bekalan barangan basah di sebuah pasar raya di Iskandar Puteri, Johor. (Gambar Bernama)
ISKANDAR PUTERI:
Lima pembekal ayam di sekitar Tampoi di Johor Bahru disiasat kerana dipercayai menjual ayam kepada peruncit melebihi harga kawalan, kata Exco Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri Lee Ting Han.

Beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) membuka kertas siasatan termasuk meneliti invois jualan ayam kepada peruncit terlibat.

“Kita kesan perkara ini sejak tiga minggu lepas dan dipercayai ayam tersebut dijual melebihi harga kawalan iaitu RM8.10 sekilogram,” katanya pada sidang media selepas Program Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Peringkat Negeri Johor di Mydin Mall Mutiara Rini.

Turut hadir Pengarah KPDN Johor Lilis Saslinda Pornomo.

Lee berkata demikian ketika diminta mengulas sekiranya terdapat aduan ayam di negeri ini dijual melebihi harga kawalan.

Katanya selain itu, lima peruncit di Johor Bahru turut dikenakan kompaun kerana menjual ayam melebihi harga kawalan di peringkat peruncit iaitu RM9.40 sekilogram.

Sementara itu, Lee berkata kerajaan negeri dengan kerjasama kerajaan Persekutuan akan mengadakan Jualan Rahmah di kesemua 26 kawasan Parlimen pada Mei depan.

Beliau berkata inisiatif yang dijalankan di seluruh negara itu memanfaatkan rakyat dengan potongan harga barangan keperluan asas dari 15% sehingga 20%.

“Lokasi pasaraya dan kedai runcit terlibat akan sentiasa berubah dan Jualan Rahmah ini diadakan dua kali sebulan di setiap Parlimen,” katanya.

Berhubung bekalan ayam di Johor, beliau berkata setakat ini bekalan adalah mencukupi, dan seramai 200 penguat kuasa akan melakukan pemantauan sepanjang SHMMP dilancarkan di seluruh negara bermula semalam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.