
Noor Hisham memberitahu FMT, beliau sangat bersyukur kerana berpeluang melalui momen bermakna dan pencapaian unik dalam tempoh sedekad menerajui perkhidmatan kesihatan.
Momen paling membanggakannya sudah pasti ketika membantu mengawal wabak dan membawa negara menuju fasa endemik.
“Covid-19 mengajar kita tentang perlunya pelan tindakan bersepadu kerajaan dan masyarakat untuk mengatasi wabak dan sebarang bencana.
“Kita mesti bekerjasama untuk mencapai matlamat bersama negara dan saya percaya dengan bersama-sama, kita dapat memungkinkan yang mustahil.
“Suatu perjalanan yang epik, berkhidmat untuk rakyat dan negara,” kata Noor Hisham, yang akan bersara pada 21 April.
Beliau pernah berkhidmat bawah pentadbiran lima perdana menteri, daripada Najib Razak, Dr Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin, Ismail Sabri Yaakob sehingga Anwar Ibrahim.
Beliau pernah menjadi ketua Jabatan Pembedahan Payudara dan Endokrin Hospital Kuala Lumpur selama sembilan tahun sebelum dilantik sebagai timbalan ketua pengarah kesihatan pada 2008.
Beliau dinaikkan pangkat sebagai ketua pengarah lima tahun kemudian, menggantikan Dr Hasan Abdul Rahman.
Noor Hisham merupakan antara pegawai tertinggi di barisan hadapan dalam menangani pelbagai krisis kesihatan, termasuk wabak campak di perkampungan Orang Asli pada 2019 dan penyakit tangan, kaki dan mulut dalam kalangan kanak-kanak pada 2018.
Tugas paling mencabarnya adalah ketika menguruskan wabak Covid-19. Kes Covid-19 pertama di Malaysia dikesan membabitkan pengembara pada 25 Jan 2020. Rakyat pertama yang dijangkiti virus itu dikesan hanya 10 hari kemudian.
Peralihan kerajaan pada Februari tahun itu menyebabkan ketiadaan menteri selama seminggu. Bagaimanapun, urusan tetap berjalan seperti biasa bagi pegawai di kementerian dan Noor Hisham sebagai ketua profesional perkhidmatan kesihatan dan perubatan.
Akhirnya, beliau menjadi “wajah” pengurusan wabak oleh kerajaan, memberikan taklimat harian kepada orang ramai mengenai situasi Covid-19 di Malaysia, mengambil alih peranan itu daripada Dr Adham Baba susulan beberapa kesilapan dilakukan oleh bekas menteri kesihatan itu.
Kejayaan beliau menguruskan wabak Covid-19 di negara ini menyebabkan Rangkaian TV Global China menamakan Noor Hisham sebagai antara barisan doktor utama mengetuai perjuangan negara masing-masing memerangi wabak itu, bersama Dr Anthony Fauci dari Amerika Syarikat dan ketua pengarah kesihatan New Zealand ketika itu, Ashley Bloomfield.
Bagaimanapun, Noor Hisham enggan dianggap wira negara, dengan berkata tumpuan harus diberikan kepada semua rakyat Malaysia dan apa yang rakyat boleh lakukan untuk mengekang penularan virus berkenaan.
“Apa yang penting ialah khidmat kita (kepada negara),” katanya kepada pemberita pada Mac 2020. Beliau juga berkali-kali memuji barisan hadapan yang bertungkus lumus berkhidmat dan melindungi rakyat, terutama mereka yang terkorban dalam menjalankan tugas.
Noor Hisham juga memenangi hati ramai rakyat kerana beliau dilihat sebagai pegawai tertinggi kerajaan yang mudah didekati dan ada belas kasihan.
Apabila Lara Khadijah McAfee yang berusia sembilan tahun menulis surat kepadanya bagi mengucapkan terima kasih atas usaha yang dilakukannya, Noor Hisham membalas, dan sekali lagi memuji rakyat Malaysia dan petugas kesihatan keseluruhannya.
Noor Hisham memberitahu Lara: “Saya harap kamu akan terus belajar dengan tekun dan mengekalkan keputusan yang baik.
“Suatu hari nanti, giliran kamu pula untuk membantu Malaysia.”
Beliau mengakhiri surat itu dengan menyatakan “Daripada kawan baharu kamu, Dr Hisham”.
Namun di sebalik pujian yang diterima, bukan semuanya indah sepanjang tempoh perkhidmatan Noor Hisham. Beliau menerima banyak kritikan daripada pelbagai pihak, daripada rakyat biasa kepada penjawat awam yang bersara, doktor, malah Ahli Parlimen Bintulu Tiong King Sing, yang pernah menjadi duta khas bertaraf menteri ke China.
Beliau juga terpaksa memikul lebih banyak urusan pentadbiran di kementerian, terutamanya dalam isu membabitkan nasib doktor kontrak dan mogok oleh kakitangan penjagaan kesihatan.
Bagaimanapun, beliau sentiasa mendapat sokongan rakan sekerja di kementerian dan mereka dalam profesion perubatan, seperti Persatuan Perubatan Malaysia, serta bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin.