Sukar untuk PN menang di Negeri Sembilan, ‘gelombang hijau’ makin lemah, kata penganalisis

Sukar untuk PN menang di Negeri Sembilan, ‘gelombang hijau’ makin lemah, kata penganalisis

Azmi Hassan berkata, gabungan itu semakin hari semakin hilang kekuatan, khususnya apabila pemimpinnya terlibat dalam kes mahkamah.

Penganalisis berkata, ‘gelombang hijau’ yang melanda pada PRU lepas makin hari makin lemah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perikatan Nasional (PN) menghadapi kesukaran untuk merampas Negeri Sembilan daripada Pakatan Harapan (PH) kerana “gelombang hijau”, yang menyaksikan gabungan pimpinan Muhyiddin Yassin itu memperoleh 74 kerusi pada PRU lepas, semakin lemah, kata penganalisis.

Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata, “gelombang hijau” kelihatan begitu kuat empat bulan lepas, membolehkan PN menang di Padang Serai, Kedah, walaupun berdepan pakatan PH dengan Barisan Nasional (BN).

Pilihan raya bagi kawasan Parlimen itu diadakan pada 7 Dis, hanya lebih seminggu selepas kerajaan perpaduan dibentuk, susulan kematian calon PH.

PN menang dengan majoriti 16,260 undi.

Namun kini, PN tiada peluang, kata Azmi.

Beliau berkata, gabungan itu di Negeri Sembilan tidak sekuat seperti di negeri-negeri utara.

“Kini, gelombang hijau semakin lemah dari hari ke hari, terutamanya dengan masalah mahkamah yang dihadapi Bersatu,” katanya kepada FMT, merujuk tuduhan pengubahan wang haram dihadapi Muhyiddin dan tuduhan rasuah bekas ketua penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan.

“PN berada dalam kedudukan yang sukar.”

Azmi berkata, kedudukan Umno yang stabil juga bagus untuk PH dan BN. Itu sesuatu yang dimahukan pengundi Negeri Sembilan, tambahnya.

“Perbalahan dalam Umno sebelum PRU lepas telah menjauhkan ramai pengundi,” katanya.

Dengan sebahagian besar kepimpinan Umno semasa dilihat sejajar dengan Presiden Zahid Hamidi, perbalahan dalaman dan sabotaj akan berkurangan dan parti itu boleh menggambarkan dirinya sebagai “lebih stabil”.

Sementara itu, Felo Kanan Majlis Profesor Negara Jeniri Amir berkata, hampir mustahil untuk PN merampas Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, katanya, perbandingan tidak seharusnya dibuat dengan keputusan di Padang Serai kerana PRN berbeza.

Beliau juga berkata, sokongan yang diberikan oleh PH kepada Umno akan mengukuhkan asas parti itu, khususnya pada peringkat akar umbi.

“BN, dengan Anwar Ibrahim di pihaknya, mempunyai segala-galanya dari segi jentera, kewangan dan media,” katanya.

Bagaimanapun, PN akan memberikan saingan yang kuat.

Enam negeri – Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan yang dikuasai PH, serta Kedah, Kelantan dan Terengganu pimpinan PAS – akan mengadakan PRN selepas Julai tahun ini.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.