Pemandu treler terbabit kemalangan maut 2 wanita ditangkap

Pemandu treler terbabit kemalangan maut 2 wanita ditangkap

Polis berkata lelaki berusia 30 tahun itu ditangkap berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat, Melaka.

Keadaan motosikal mangsa selepas terbabit kemalangan dengan lori treler. (Gambar PDRM)
IPOH:
Polis menahan seorang pemandu treler yang dipercayai terbabit dalam kejadian langgar lari hingga mengorbankan dua wanita di Kilometer 121 Jalan Ipoh – Kuala Lumpur arah utara berhampiran Kampung Kelawar, Tanjong Malim, pada 29 Mac lepas.

Ketua Polis Muallim, Mohd Hasni Mohd Nasir berkata tangkapan terhadap lelaki berusia 30 tahun itu dilakukan berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat, Melaka pada 11.57 malam semalam.

Beliau berkata berdasarkan soal siasat, suspek mengaku menyebabkan kemalangan tersebut ketika dia membuat pusingan ‘U’ di lokasi kejadian.

“Akibat kemalangan itu, lelaki tersebut menghantar notis berhenti kerja 24 jam kepada majikannya pada 30 Mac iaitu sehari selepas kejadian

“Pihak kami juga merampas sebuah treler ‘bulk tanker’ jenis Volvo di Kerling, Selangor dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan bengkok dan cat tertanggal pada penghadang besi di sebelah kanan tengah kenderaan itu,” katanya.

Menurutnya suspek direman hingga Isnin ini bagi membantu siasatan dan hasil ujian saringan air kencing terhadapnya didapati negatif.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.