
Selain menderma vaksin, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk membantu negara lain dengan logistik vaksinasi penduduk mereka, kata Subramaniam.
Beliau berkata, sesetengah negara ini tidak mempunyai kemudahan logistik untuk melaksanakan program imunisasi. Putrajaya boleh mengadakan perbincangan dengan rakan sejawat asing mereka tentang sokongan yang diperlukan dalam bidang-bidang tersebut.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa bahawa lebih lapan juta dos vaksin Covid-19 akan luput pada September.
Zaliha juga berkata, setakat 28 Feb, sebanyak 2,796,638 dos pelbagai jenama bernilai kira-kira RM81.4 juta telah luput.

Bagaimanapun, menurut Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, sebarang peluang untuk menderma dos-dos itu sepatutnya dibincangkan oleh kerajaan pada awal tahun.
“Sekarang sudah terlambat kerana negara-negara tersebut akan keberatan untuk mengambil vaksin apabila mereka tidak cukup masa untuk merancang program vaksinasi,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azrul Khalib kepada FMT.
Beliau berkata, hanya negara-negara yang “mempunyai kelebihan”, seperti Malaysia, mempunyai isu “lebihan bekalan” vaksin.

“Kita perlu menekankan kepada orang ramai sekali lagi tentang keperluan mendapatkan suntikan penggalak, terutamanya jika mereka hanya menerima suntikan utama.
“Jika stok itu tidak digunakan menjelang tarikh luputnya, kemungkinan stok itu akan dimusnahkan,” katanya.
Subramaniam bersetuju dengan Azrul bahawa Kementerian Kesihatan (KKM) perlu menggiatkan kempen meyakinkan rakyat mendapatkan dos penggalak.
Memetik peningkatan jumlah kes Covid-19 di rantau ini sejak beberapa minggu lepas, beliau berkata, lonjakan ini boleh digunakan untuk mengingatkan orang ramai bahawa virus itu masih wujud dalam komuniti.