
Seorang bakal jemaah, Saidatul Jamilah, memberitahu FMT bahawa aplikasi perbankannya memaparkan bayaran sebanyak RM151,440 terhenti.
“Saya bersusah-payah datang dari Terengganu, dengan saya mengandung lagi, nak dapatkan cek. Lama menunggu nak dapat semula duit, bila dapat cek kita lega. Sekali rupanya jadi macam ini,” katanya.
Seorang lagi bakal jemaah hanya mahu dikenali sebagai Aminah, tertanya-tanya kenapa pembayaran dibatalkan selepas agensi itu sendiri meminta peserta mengambil cek bayaran balik di pejabatnya.
“Saya ada surat hitam putih yang mengatakan suruh datang ambil cek…jadi saya dari Kelantan ke pejabat Emraz ambil cek berjumlah RM29,000 tetapi sekarang mereka batalkan bayaran,” katanya.
Situasi ini menyebabkan beliau mengesyaki pemberian cek sebelum ini sekadar “untuk meredakan kekecohan”.
“Kalau kami cakap mereka ‘scammer’, mereka marah. Habis itu kalau dah macam ini?” soalnya.
Zalina Wahab pula berpandangan tiada sebab munasabah untuk “tahan” duit mereka.
“Saya kata tiada sebab munasabah ‘tahan’ duit kami sebab bila kami tanya bukti pembayaran, mereka tak tunjuk pada kami,” katanya.
FMT sudah menghubungi Emraz untuk mendapatkan penjelasannya.
Emraz sebelum ini menafikan dakwaan ia “scammer” selepas Lembaga Tabung Haji menggantung lesen pengelola jemaah hajinya, berikutan makluman beberapa aduan awam mengenai perkhidmatan umrah ditawarkan syarikat itu.
Katanya, Emraz telah menerbangkan lebih 30,000 jemaah umrah, dan tidak mengenakan bayaran tambahan meskipun terdapat kenaikan kos. Menurut laporan Kosmo itu, ia menghadapi kenaikan luar biasa harga tiket dan hotel, dan berdepan proses pemulihan pasca pandemik Covid-19.
Sebelum ini, media melaporkan kira-kira 60 bakal jemaah umrah menyerbu pejabat sebuah agensi umrah, haji, dan pelancongan bagi menuntut semula bayaran susulan ia menangguhkan perjalanan mereka ke Tanah Suci.
Agensi terbabit dalam kenyataan berkata penangguhan itu disebabkan kenaikan mendadak kos, dari segi penginapan dan tiket kapal terbang.