
PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang lagi pembantu kepada Menteri Sumber Manusia V Sivakumar.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki mengesahkan kepada FMT setiausaha sulit Sivakumar ditahan berkait dengan siasatan meluluskan kuota pekerja asing.
“(Dia) direman, tetapi saya tidak tahu berapa lama,” kata Azam.
Semalam, SPRM menahan seorang lagi pegawai kanan Sivakumar.
Sumber memberitahu FMT, pegawai itu ditahan bersama seorang ejen mencari pekerja asing.
Penahanan mereka dikatakan berkait siasatan membabitkan pengambilan pekerja asing.
Sivakumar juga berkata pihaknya akan memberi kerjasama penuh kepada agensi penguat kuasa selepas pegawai dari pejabatnya ditahan SPRM.