Mahkamah benar Rafizi peroleh dokumen gaji bekas CEO Sapura Energy

Mahkamah benar Rafizi peroleh dokumen gaji bekas CEO Sapura Energy

Mahkamah memutuskan gaji dan elaun Shahril Shamsuddin dari 2009 hingga 2021 penting untuk pembelaan Rafizi.

Shahril Shamsuddin memfailkan saman fitnah terhadap Rafizi Ramli berkait kenyataan menteri ekonomi itu mengenai imbuhan diterimanya sebagai CEO Sapura Energy.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Sesyen membenarkan permohonan Rafizi Ramli mendapatkan dokumen berkaitan gaji dan elaun dibayar kepada bekas CEO Sapura Energy Berhad, Shahril Shamsuddin.

Peguam Rafizi, Navpreet Singh, berkata Hakim Lailatul Zuraida Harron membenarkan permohonan itu ketika sesi pengurusan kes hari ini.

Navpreet berkata, mahkamah memutuskan dokumen dipohon Rafizi relevan dengan isu untuk menentukan satu kes fitnah yang difailkan oleh Shahril terhadap Rafizi.

Rafizi yang juga menteri ekonomi memfailkan permohonan itu tahun lalu untuk mendapatkan dokumen daripada Sapura Energy berkait imbuhan dan elaun Shahril dari 2009 hingga 2021.

Katanya, dokumen itu penting untuk beliau membela diri.

Shahril memfailkan saman itu pada Mei 2022 mendakwa Rafizi membuat kenyataan fitnah berkait gaji diterimanya.

Rafizi menuduh pemegang saham majoriti Sapura Energy diketuai Shahril mengeluarkan sejumlah RM1.33 bilion dengan RM1.1 bilion digunakan untuk membayar gaji dan bakinya untuk bayaran lain serta dividen.

Beliau mendakwa, jumlah itu adalah tiga kali ganda berbanding RM440 juta yang syarikat itu bayar dalam bentuk dividen kepada pemegang saham lain.

Shahril menafikan tuduhan itu, dan peguamnya berkata jumlah keseluruhan imbuhan antara 2013 hingga 2021 adalah RM486.25 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.