Jabatan kecemasan hospital kurang sesak lepas lanjut operasi klinik kerajaan

Jabatan kecemasan hospital kurang sesak lepas lanjut operasi klinik kerajaan

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata pesakit di Hospital Tengku Aminah Rahimah, Klang berkurangan 50% sejak projek rintis itu bermula.

Inisiatif Kementerian Kesihatan untuk mengurangkan kesesakan pesakit di jabatan kecemasan hospital membuahkan hasil, kata Menterinya, Dr Zaliha Mustafa.
PETALING JAYA:
Kesesakan pesakit di jabatan kecemasan sesetengah hospital awam berkurangan selepas waktu operasi di klinik kesihatan kerajaan tertentu dilanjutkan, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

Katanya, jumlah pesakit di jabatan kecemasan Hospital Tengku Aminah Rahimah turun 54% sejak operasi zon hijau (bukan kecemasan) jabatan itu dipindahkan ke Klinik Kesihatan Bandar Botanik di Klang, yang waktu operasinya dilanjutkan sehingga 9.30 malam.

“Trend penurunan lebih ketara pada Sabtu dan Ahad, dan selari peningkatan pesakit di klinik kesihatan itu selepas intervensi lanjutan operasi dilaksanakan mulai 25 Mac lalu,” katanya dalam kenyataan.

Menyifatkan projek rintis itu berjaya, Zaliha berkata, KKM akan memperluaskannya ke lima klinik kerajaan di Gombak, Hulu Langat, Ipoh, Johor Bahru dan Kuala Lumpur.

Katanya, KKM sedang melaksanakan tujuh lagi penyelesaian jangka pendek dan sederhana untuk mengurangkan kesesakan pesakit di hospital kerajaan, khasnya jabatan kecemasan, termasuk menyemak semula garis panduan berkaitan dan perluasan perkhidmatan penjagaan kesihatan virtual.

Pada 11 Mac lalu, Zaliha mengumumkan waktu operasi 52 klinik kesihatan di seluruh negara dilanjutkan bagi mengurangkan kesesakan pesakit di jabatan kecemasan hospital.

Waktu operasi klinik kesihatan di Lembah Klang dilanjutkan dari 8 pagi hingga 9.30 malam dari Isnin hingga Jumaat serta 8 pagi hingga tengah hari pada Sabtu.

Di Kedah, Kelantan dan Johor, waktu operasi dilanjutkan sehingga 9.30 malam dari Ahad hingga Khamis, manakala Sabtu dibuka dari 8 pagi hingga tengah hari.

Zaliha menggesa doktor swasta dan kontrak mengambil bahagian dalam inisiatif melanjutkan waktu operasi klinik kesihatan bagi memastikan kejayaan projek itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.