
Berdasarkan pengalamannya sebagai menteri belia dan sukan pada 2018, beliau berkata, mempunyai lembaga pengarah yang hampir keseluruhannya bebas daripada lantikan politik membawa perbezaan dalam prestasi agensi kementerian.
Katanya, golongan profesional, seperti bekas penjawat awam atau penjawat awam kanan dan pakar industri, membantunya merombak agensi tersebut.
“Sebagai contoh, Perbadanan Stadium Malaysia (MSC) sebelum ini diketuai ahli politik,” katanya selepas forum Auku di Universiti Kebangsaan Malaysia malam tadi.
“Tetapi, kami melantik tokoh korporat, Tony Fernandes, yang disokong lembaga profesional, dan buat pertama kalinya, MSC mencatat keuntungan, bukannya bergantung sepenuhnya kepada subsidi kerajaan.”
Fernandes, bos AirAsia, dilantik mengetuai MSC pada 2018 apabila badan berkanun itu mengalami kerugian RM11 juta.
Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar diminta mengulas pelantikan politik oleh kerajaan perpaduan baru-baru ini.
Warganet dan kumpulan sivik mempertikaikan pelantikan politik itu tidak konsisten dengan desakan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim terhadap reformasi dan amalan tadbir urus baik.
Mengenai PRN yang akan diadakan tidak lama lagi, Syed Saddiq berkata, Muda sudah memulakan perbincangan dalaman mengenai jumlah kerusi ingin ditandinginya.
Bagaimanapun, katanya, sebarang peruntukan kerusi akan menjadi lebih mudah jika Pakatan Harapan (PH) dapat membuat keputusan berhubung permohonan Muda menyertai gabungan itu.
“Saya telah bertemu dengan Anwar dua kali dan membangkitkan perkara itu, tetapi katanya, ia (permohonan Muda untuk menyertai PH) perlu dibincangkan Majlis Presiden,” katanya.